Hutang baharu Kerajaan Persekutuan bagi tempoh 2023 dan tahun ini, menyaksikan penurunan berbanding tempoh 2021 dan 2022, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri berkata, penurunan itu menunjukkan komitmen pentadbirannya untuk memenuhi janji menurunkan hutang terkumpul negara yang kini sudah mencecah RM1.5 trilion.
Beliau yang juga Menteri Kewangan, bagaimanapun menegaskan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya membatalkan semua hutang termasuk yang diwarisi, memandangkan langkah sedemikian akan menjejaskan projek membantu rakyat seperti membina sekolah atau universiti baru.
“Umpamanya 2021, 2022, kita berhutang dari luar dan dalam RM100 bilion. Hutang 2022 RM100 bilion. Sejak kita ambil alih pada 2023, kita beritahu keadaan ini tidak boleh kita pertahankan dengan hutang yang berlonggok dan bertambah.
“Maka tahun lalu, kita kurangkan hutang ke RM93 bilion dari RM100 bilion sebelumnya, atau tahun sebelumnya. Tahun ini, hutang RM86 bilion. Kuranglah maknanya, dari RM100 bilion jadi RM93 bilion, sekarang RM86 bilion.
“Tetapi mengapa tidak boleh terus batal semua hutang? Maka ia menjejaskan projek-projek membantu rakyat. Sekolah baharu atau universiti dan pembangunan, termasuk tanggungan kita membayar hutang-hutang lama,” katanya dalam satu video di kongsi di Facebook beliau hari ini.
Anwar menjelaskan, tanggungan hutang atau had statutori hutang negara ketika ini masih tinggi iaitu 64 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
“Ini jumlah yang memang melebihi daripada apa yang kita rasakan membantu untuk menambat keyakinan pelabur asing atau domestik. Jadi sasaran kita secara berperingkat menurunkan kepada sekurang-kurangnya 60 peratus.
“Ini ada kaitan dengan defisit. Dulu defisit belanjawan, maknanya pendapatan kurang, belanja lebih. Jadi dulu mencecah sehingga enam peratus. Kemudian bila kita ambil alih, 5.6 peratus pada 2022. Manakala pada 2023, turun kepada lima peratus,” katanya.
Maka sebab itu katanya, kerajaan berusaha menurunkan secara berperingkat daripada 5.6 peratus defisit kepada 5.0 peratus pada 2023, seterusnya ke tahap 4.3 peratus seperti diunjurkan tahun ini.
Justeru katanya, adalah tidak benar mengatakan bahawa dasar kewangan, fiskal, belanjawan itu nampak mengekang dan tidak memenuhi apa yang dijanjikan.
“Tetapi yang diuar-uarkan itu sebahagiannya itu tidak berdasarkan fakta. Sebahagiannya itu hanya lontaran politik yang tidak bertanggungjawab sebab saya berikan angka-angka ini dan angka-angka ini dipertahankan dari sudut kebenarannya.
“Kementerian Kewangan dari semasa ke semasa, memang mengeluarkan data-data ini bersama dengan Jabatan Statistik Negara. Saya lihat dalam media sosial kita diserang tapi faktanya tidak benar,” katanya.-BH Online