Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan menyediakan peruntukan paling tinggi dalam sejarah membabitkan program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) bagi dua tahun berturut-turut, demi manfaat murid dalam kategori miskin tegar.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, berkata untuk tahun ini, sejumlah RM716 juta diperuntukkan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk RMT, manakala RM777 juta lagi sepanjang 2023.

Jumlah itu lebih tinggi berbanding RM616 juta peruntukan untuk RMT bagi 2022.

“KPM menyediakan peruntukan paling tinggi dalam sejarah bagi memanfaatkan anak-anak dari keluarga berpendapatan yang di bawah garis kemiskinan nasional.

“Ia juga memanfaatkan murid di sekolah Orang Asli dan murid berkeperluan khas,” katanya menjawab soalan tambahan Cha Kee Chin (PH-Rasah) pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mengulas lanjut, Kah Woh yang juga Ahli Parlimen Taiping berkata peruntukan RMT diberikan bagi memastikan murid bukan hanya mendapatkan sarapan, malah menu disediakan juga mempunyai nutrisi sesuai untuk tujuan pembesaran mereka.

Mengenai harga makanan di kantin sekolah, Kah Woh berkata, ia dipantau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan bersesuaian keperluan murid.

Dalam perkembangan sama, Kah Woh berkata, KPM komited memberikan pendidikan percuma dengan menyalurkan 18 jenis bantuan persekolahan iaitu lima jenis bantuan persekolahan umum dan 13 jenis bantuan persekolahan khusus.

Beliau berkata, bantuan persekolahan umum adalah untuk memastikan setiap murid di Malaysia mendapat kesamarataan peluang pendidikan bagi membolehkan mereka mencapai potensi masing-masing sama ada dalam kurikulum mahupun kokurikulum. 

“Bantuan persekolahan khusus pula diberi kepada murid yang layak berdasarkan kriteria ditetapkan bagi membantu murid golongan berpendapatan rendah, murid berkeperluan pendidikan khas (MBPK) atau murid yang cemerlang dalam akademik dan sukan,” katanya.

Beliau berkata, Tujuh Teras Nadi Keunggulan KPM diperkenalkan bagi memastikan kualiti pendidikan negara akan terus terjamin membabitkan inisiatif di bawah Teras 3 iaitu memberi perhatian terhadap isu kemiskinan multidimensi murid daripada keluarga B40.

Katanya, ia bertujuan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan sama ada dalam bentuk kewangan, keperluan, kemudahan dan sumber tenaga bagi menangani masalah keciciran murid, khususnya dalam kalangan keluarga B40. 

“Impak inisiatif Teras 3 kepada kumpulan sasar adalah untuk menangani masalah keciciran murid akibat daripada kemiskinan dan ketidakupayaan serta memberi motivasi kepada murid untuk terus mengekalkan kecemerlangan dalam bidang akademik serta bidang sukan dan kokurikulum.

“Selain itu, Yayasan Didik Negara (YDN) ditubuhkan KPM bertujuan untuk membantu meningkatkan kualiti pendidikan setiap murid termasuk dari keluarga berpendapatan rendah,” katanya.-BH Online