Penganjuran Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Hari Peneroka FELDA akan digabungkan tahun hadapan dengan sasaran kehadiran seramai dua juta pengunjung, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata sambutan itu akan dikendalikan oleh null
Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) yang berpengalaman menganjurkan KUD yang memasuki edisi kesembilan tahun lalu.
“Insya-Allah pada tahun hadapan saya berazam dengan Ketua Setiausaha KKDW (Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar) yang baharu, Hari Peneroka FELDA perlu didokong oleh KKDW.
“Kalau tahun lalu, KUD diadakan di Putrajaya dikunjungi seramai 1.5 juta orang pengunjung.
“Ditambah dengan dokongan daripada peneroka FELDA generasi pertama hingga kelima, Insya-Allah sasaran bagi Hari Peneroka FELDA kita berhasrat untuk mencapai dua juta pengunjung pada hari berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Rancangan FELDA (AKRF), Anugerah Masjid Contoh (AMC) dan Anugerah Tokoh Imam FELDA (ATIF) sempena Hari Peneroka FELDA di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang di sini, hari ini.
Sambutan Hari Peneroka FELDA 2024 diadakan selama tiga hari bermula 12 hingga 14 Julai di MAEPS, tidak seperti kelaziman diadakan hanya sehari sebelum ini.
Dalam perkembangan berkaitan mengenai pemerkasaan pendidikan anak FELDA, Ahmad Zahid berkata, selain daripada Pendidikan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), beliau berhasrat untuk membangunkan maahad tahfiz di kawasan tanah rancangan itu.
“Saya akan lakukan reformasi dengan menyediakan pendidikan kepada mereka yang menjadi huffaz atau yang menghafal 30 juzuk al-Quran untuk dijadikan ahli profesional dan ahli dalam bidang teknikal.
“Kini terdapat 17 maahad tahfiz, di mana kerjasama dengan universiti tempatan membolehkan anak-anak ini dimasukkan ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) melalui MARA,” katanya.
Beliau berkata, terdapat huffaz yang kini mengikuti kursus TVET dalam penerbangan serta kejuruteraan penerbangan dan mereka sudah menjadi jurutera dalam bidang itu.
“Alhamdulillah, tidak mustahil juga kita akan lihat lebih banyak pendidik dan keutamaan kepada generasi FELDA di masa hadapan.
“Transformasi yang dilakukan sejak tahun lalu, termasuk mewujudkan pra-tahfiz bagi tabika KEMAS (Jabatan Kemajuan Masyarakat) di seluruh negara,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut mencadangkan tadika yang berada di bawah FELDA diperluaskan sekiranya perlu.
“Saya berazam untuk memperluaskan pendidikan untuk anak-anak FELDA dengan pendedahan awal supaya mereka dapat menghafal al-Quran. Ia untuk memastikan mereka menghayati nilai-nilai Islam sejak kecil,” katanya.-BH Online