Program SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) Ala Sekinchan di Kawasan Pertanian Pembangunan Bersepadu (IADA) Kota Belud, di sini, menyasarkan penanaman padi membabitkan kawasan seluas 100 hektar di daerah ini.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata projek model rintis menggunapakai teknologi dan cara kerja ladang terbaik seperti diamal pesawah di Sekinchan, Selangor itu akan diberi pemantauan dalam meningkatkan potensi keberhasilan.
“Ia sekali gus menjadi pemangkin semangat kepada penanam padi sawah di Sabah dan Sarawak.
“Pegawai kita akan pantau, lihat perkembangan termasuk daripada BERNAS (Padiberas Nasional Berhad) akan pantau bersama supaya kita mahu benar-benar berjaya.
“Apabila berjaya, ia akan menjadi semangat kepada pesawah di Sabah, mungkin juga di Sarawak bersama meningkatkan hasil penanaman padi ini,” katanya ditemui selepas merasmikan Program SMART SBB Ala Sekinchan IADA Kota Belud sempena Jelajah Road to MAHA @ Sabah, di sini.
Program SMART SBB Ala Sekinchan yang dilancar adalah kesinambungan Program SMART SBB yang dimulakan pada 2022 di daerah ini dengan catatan peningkatan purata hasil sebanyak 4.22 metrik tan berbanding 2.8 metrik tan pada tahun sebelumnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad berkata, lebih RM33.59 juta disalurkan kepada Sabah dalam usaha membangun dan optimumkan penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil produk agromakanan.
Katanya, peruntukan disalurkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu adalah sebahagian daripada RM150 juta diperuntukan Kerajaan Persekutuan dalam Belanjawan 2024 bagi pelaksanaan projek pembangunan bersama kerajaan negeri.
Beliau berkata, tujuh projek pembangunan agromakanan dibangunkan di Sabah melalui peruntukan tertinggi disalurkan, berbanding negeri lain di negara ini.
“Projek itu antara lain pemerkasaan ternakanan bersepadu ruminan, pembangunan 23 pusat pengumpulan hasil tani dan pemulihan sawah-sawah padi terbiar seluas 534.55 hektar. Selain itu, ia juga membabitkan pembinaan kilang kopi dan pembangunan tanaman kontan keladi Cina,” katanya.
Beliau berkata, peruntukan di bawah program ini disalurkan secara berperingkat kepada Sabah pada 4 April lalu bagi memastikan program ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.-BH Online