Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menawarkan bantuan kaunseling kepada keluarga kanak-kanak yang meninggal dunia selepas termakan makanan ringan mengandungi racun tikus.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, JKM turun padang menyantuni keperluan keluarga mangsa bagi memastikan mereka dalam keadaan baik selepas berdepan ujian itu.

“JKM sudah pergi bertemu keluarga (mangsa) untuk menyantuni mereka.

“Kita lebih kepada kaunseling nak tahu bagaimana perasaan dan cuba meredakan keadaan (kejadian tragis itu),” katanya kepada media selepas majlis Pelancaran Kajian Penduduk dan Keluarga Malaysia Keenam (KPKM-6) 2024 Sempena Sambutan Hari Penduduk Sedunia 2024 di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai kematian kanak-kanak, Muhammad Akil Syauqi Nur Sufyan, 3, akibat termakan makanan ringan mengandungi racun tikus yang meninggal dunia pagi semalam.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, pihaknya menyerahkan kepada pihak berkuasa bagi menyiasat kes berkenaan.

“Perkara ini masih dalan siasatan. Bukan (kerja) kita untuk mengatakan (perbuatan) itu sengaja atau tidak, kita serahkan kepada pihak polis (menyiasat).

“Cuma saya menyeru ketua masyarakat ambil ini sebagai pengajaran supaya memainkan peranan memberikan peringatan kepada orang kampung supaya jangan berlaku (berulang) dan buat begini (letak racun dalam makanan) kerana ia boleh menarik perhatian kanak-kanak.

“Saya amat bersimpati dengan kanak-kanak yang meninggal dunia itu dan kita doakan adiknya yang berada di hospital dapat diselamatkan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, Muhammad Akil Syauqi dan adiknya, Muhammad Luth Syauqi, 2, kritikal selepas termakan makanan ringan yang dicampur racun tikus bertujuan menghalau kera.

Makanan itu didakwa diambil dua beradik berkenaan berdekatan rumah mereka di Kampung Padang Ubi, Labu Besar, Kulim, Kedah pada Ahad lalu.-Harian Metro Online