Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tribunal Pusat Timbangtara Antarabangsa Singapura (SIAC) membuat keputusan yang memihak kepada anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA), FIC Properties Sdn Bhd (FICP) membabitkan tuntutan Put Option terhadap 37 peratus pegangan saham dalam Eagle High Plantations (Eagle High). 

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata berdasarkan keputusan itu, tribunal mengarahkan salah satu atau kedua-dua, PT Rajawali Capital International (RCI) dan PT Rajawali Corpora (RC) untuk menjalankan tanggungjawabnya di bawah Put Option dengan membeli kembali saham Eagle High pada harga atau kadar yang dipersetujui dari FICP.

“Tribunal memberi keputusan memihak kepada FICP dan mengarahkan salah satu atau kedua-dua RCI dan RC untuk menjalankan tanggungjawabnya di bawah Put Option dengan membeli kembali saham Eagle High pada harga atau kadar yang dipersetujui dari FICP. 

“FELDA dan FICP sentiasa tetap dengan pendirian bahawa hak Put Option FICP adalah sah, dan amat berpuas hati bahawa Tribunal juga secara muktamadnya menegakkan pendirian itu di dalam keputusan (Award) yang diterbitkan Tribunal. 

“FELDA kini sedang mempertimbangkan pilihan sedia ada untuk memperakui dan melaksanakan Award itu,” katanya melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam. 

Beliau menjawab soalan Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang ingin tahu keputusan tuntutan Put Option oleh FELDA terhadap pegangan dalam Eagle High yang dibawa ke Pusat Timbangtara Antarabangsa Singapura. 

Radzi juga ingin tahu manfaat yang dinikmati FELDA daripada pelaburan dalam Eagle High membabitkan dana RM2.3 bilion pada tahun 2016. 

FICP merujuk tuntutan penguatkuasaan bagi Put Option Kedua untuk mengkehendaki RCI dan RC membeli semula saham FICP di dalam EHP dengan memfailkan Notis Timbangtara ke Pusat Timbangtara Antarabangsa Singapura pada 17 Januari 2023.

Pada masa sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, berkata pendengaran timbangtara itu dijalankan pada 5 hingga 6 Disember 2023. 

Beliau berkata, proses berkaitan pengeluaran award diselesaikan oleh Tribunal dan SIAC. 

Katanya, Award dikeluarkan pada 14 Jun lalu oleh panel penimbangtara antarabangsa (Arbitral Tribunal) yang berpengalaman dan dilantik tertakluk kepada peraturan SIAC. 

“Namun bagi mematuhi peraturan SIAC dan juga mengambil kira tanggungjawab FICP di bawah Peraturan SIAC, butiran lebih terperinci tidak dapat diberikan lagi buat masa ini. 

“FELDA mengakui usaha dan berterima kasih kepada semua yang terbabit sama ada secara langsung ataupun tidak langsung, serta penasihat, peguam cara undang-undang yang dilantik, dalam mencapai hasil keputusan timbangtara ini,” katanya. 

Beliau berkata, sehingga kini, FELDA tidak merekodkan sebarang keuntungan dan perolehan dividen daripada pelaburan sebanyak 37 peratus saham Eagle High oleh FICP yang dilaksanakan sejak 2017.