Bermatlamat memperkasa usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terbabit dalam urus niaga dalam talian, firma pakar runding keselamatan siber, LGMS Bhd tampil dengan peranti dinamakan ‘StarSentry’ yang menawarkan perlindungan data serta pencerobohan penjenayah siber.
Peranti mesra pengguna berkonsepkan ‘pasang dan pakai’ itu bukan sahaja boleh mengimbas dan mengesan kewujudan ancaman siber, bahkan ia turut menyediakan laporan secara mingguan yang boleh diakses untuk mendapatkan perincian lanjut termasuk percubaan menceroboh oleh pihak tertentu.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo, berkata pelancaran StarSentry tepat pada masanya, ketika ekosistem digital negara berdepan dengan pelbagai cabaran terutama dengan kemunculan pelbagai teknologi baharu.
“Memandangkan kebergantungan kita kepada teknologi digital terus meningkat dan berlaku secara berterusan meliputi pelbagai sektor, amat penting untuk kita memberi perlindungan kepada aset digital, khususnya pelbagai maklumat penting.
“Pelancaran peranti StarSentry ini adalah hasil daripada kerjasama dan semangat inovasi LGMS Berhad bagi memberikan penyelesaian tuntas kepada isu keselamatan siber, terutama dalam kalangan usahawan PKS yang sering merasakan mereka adalah kelompok yang paling berisiko untuk terdedah kepada ancaman siber,” kepada berucap bagi menyempurnakan Majlis Pelancaran Penyelesaian Keselamatan Siber Buatan Malaysia, ‘StarSentry’ keluaran LGMSBerhad di M Resort and Hotel Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia (CSM), Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab; Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Syed Ibrahim Syed Noh; Pengerusi Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook dan Duta Besar Jepun ke Malaysia, Katsuhiko Takahashi.
Gobind turut berkata, melalui peranti inovasi itu, ia bukan sahaja mengelakkan usahawan PKS daripada menjadi mangsa ancaman keselamatan siber, malah operasi perniagaan harian mereka lebih lancar kerana mampu mengenal pasti kehadiran ‘penjenayah siber’ lebih awal, sekali gus dapat mengambil tindakan proaktif untuk melindungi data syarikat.
Ditanya sama ada Kementerian Digital bercadang untuk tampil dengan inisiatif atau bantuan tertentu bagi membolehkan usahawan PKS melanggan peranti berkenaan, jelasnya, perkara itu ada dibincangkan.
Beliau berkata, hal itu akan dibawa ke peringkat Kabinet dan antara cadangannya adalah menyediakan insentif tertentu bagi memastikan manfaat daripada inovasi itu dapat diperluaskan kepada lebih ramai usahawan.
“Kami dalam proses untuk membentangkan cadangan ini kerana aspek keselamatan siber menjadi keutamaan kementerian ini. Saya harap dalam masa terdekat, ia dapat dibentangkan (cadangan kepada Kabinet), khususnya menuju kepada Bajet tahun ini.
“Kita lihat jika ada peluang untuk bantu dalam proses memperkukuh keselamatan dalam bidang digital,” katanya.-BH Online