Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan mengadakan sesi libat urus lebih kerap dengan pihak industri dalam usaha membantu lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mendapat pekerjaan dengan syarikat swasta.
Menterinya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata pihaknya menyedari situasi dihadapi graduan TVET namun tidak boleh menganggap pihak industri enggan mengambil mereka bekerja.
Katanya, kerajaan telah mewujudkan kerjasama dengan pihak industri membabitkan beberapa kementerian dalam usaha mengenal pasti bidang kemahiran yang diperlukan oleh pihak swasta
“Kita perlu mendekati industri ini, apa bidang (kemahiran) yang mereka perlukan. Jangan kita mengambil pendekatan menuduh mereka tidak mahu mengambil graduan TVET untuk bekerja.
“Paling mustahak adalah pendekatan bersama dan dalam hal ini kerajaan telah mengambil keputusan dengan mewujudkan kerjasama dengan kementerian-kementerian dalam hal yang bersangkutan dengan tenaga kerja.
“Ia membabitkan KPT, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Kementerian Ekonomi, di sini kita meletakkan asas untuk kita pastikan dari segi keperluan tenaga kerja, bidang apa yang diperlukan.
“Alhamdulillah, kita telah mengadakan mesyuarat bersama membabitkan menteri ini, untuk kita dapat tahu bidang keperluan dalam sektor tertentu yang minta kita sediakan,” katanya kepada pemberita selepas Merasmikan Bangunan Fakulti Pengajian Bahasa Utama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPT, Datuk Seri Dr Zaini Ujang dan Naib Canselor USIM, Prof Datuk Ts Dr Sharifudin Md. Shaarani.
Beliau mengulas laporan muka depan BH hari ini, terdapat sebahagian besar syarikat swasta masih didapati ‘kurang kesedaran’ untuk mengambil lulusan TVET sebagai tenaga kerja mereka.
Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menerusi tinjauan Gaji MEF Untuk Eksekutif 2023 terhadap 262 syarikat swasta mendedahkan bahawa hanya 39.6 peratus mengambil lulusan TVET, sekali gus menunjukkan majoriti majikan swasta tidak terbabit dalam pengambilan pekerja dari kalangan lulusan TVET.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, dilaporkan berkata, dapatan itu jelas menunjukkan jurang yang ketara dalam aspek kesedaran dan penerimaan graduan TVET yang masih rendah dalam kalangan majikan sektor swasta.
Mengulas lanjut, Zambry berkata kursus kemahiran yang disediakan di Kolej Komuniti (KK) berbeza dengan Politeknik, namun graduan Politeknik lebih mendapat peluang pekerjaan sehingga mencecah 97 peratus.
Beliau akui perkara yang sering kali menjadi perbincangan ialah graduan di peringkat ijazah, yang dilihat lebih sukar untuk mendapat pekerjaan di sektor swasta.
Menurutnya, perkara itu disebabkan beberapa aspek termasuk syarat tambahan diperlukan graduan terbabit untuk diterima bekerja.
“Sebagai contoh dalam bidang kejuruteraan di mana universiti perlukan sedikit tambah nilai terhadap program yang dijalankan.
“Dalam bidang mikrocip misalnya, kita perlukan kemahiran bidang kejuruteraan dan bila mereka (graduan) nak masuk dalam syarikat tertentu, mereka memerlukan syarat tambahan ini.
“Tapi pada asasnya mereka sudah ada, jadi kita (universiti) perlu sediakan syarat tambahan itu (untuk mereka mudah diterima bekerja) dan ini sudah ada perbincangan dan yang akan kita buat,” katanya.-BH Online