Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebahagian besar peniaga menjangkakan persekitaran perniagaan akan lebih menggalakkan pada suku kedua 2024, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, unjuran itu adalah berdasarkan kepada petunjuk keyakinan yang positif marginal 0.7 peratus berbanding 4.2 peratus pada suku sebelumnya.

Beliau berkata, prestasi perniagaan sektor industri terus optimis dengan petunjuk keyakinan sebanyak 5.3 peratus bagi suku yang sama berbanding 0.6 peratus pada suku pertama 2024.

Perspektif yang bertambah baik dalam sektor industri katanya dipengaruhi oleh tiga subsektor iaitu perlombongan, pembuatan dan elektrik & air.

“Walaubagaimanapun sektor pembinaan, perdagangan borong & runcit dan perkhidmatan meramalkan keadaan perniagaan yang mencabar pada suku kedua 2024. 

“Keyakinan perniagaan bagi sektor pembinaan menurun dengan petunjuk keyakinan mencatatkan

-14.8 peratus pada suku dikaji,” katanya dalam satu kenyataan Statistik Kecenderungan Perniagaan bagi Suku Kedua 2024 hari ini.

Mohd Uzir berkata, sementara itu, sektor perdagangan borong & runcit dan perkhidmatan bertukar pesimis pada suku yang sama.

Beliau berkata, responden bagi sektor perdagangan borong & runcit menjangkakan prospek perniagaan yang kurang memberangsangkan dengan petunjuk keyakinan sebanyak -4.1 peratus pada suku kedua berbanding 4.7 peratus pada suku sebelumnya. 

Sektor perkhidmatan juga katanya meramalkan keadaan perniagaan yang kurang mengalakkan pada suku kedua 2024 dengan petunjuk keyakinan merekodkan -0.9 peratus berbanding 8.6 peratus sebelumnya.

Katanya, prospek perniagaan bagi tempoh April hingga September 2024 dijangka akan kekal rancak dengan imbangan bersih 14.9 peratus berbanding 10.0 peratus yang dicatatkan sebelumnya.

Semua sektor katanya mencatatkan nilai positif kecuali perdagangan borong & runcit. 

Sentimen dalam sektor industri katanya menunjukkan prospek perniagaan yang lebih cerah, dengan imbangan bersih meningkat +19.0 peratus berbanding 0 peratus yang dicatatkan sebelum ini. 

“Untuk enam bulan akan datang, sektor perkhidmatan meramalkan persekitaran perniagaan yang positif dengan imbangan bersih 9.5 peratus berbanding 24.0 peratus pada suku pertama 2024. 

“Sektor pembinaan juga mengharapkan prospek perniagaan yang optimistik, dengan imbangan bersih 3.7 peratus bagi tempoh yang akan datang.

“Perdagangan borong & runcit menjangkakan prospek perniagaan yang mencabar untuk enam bulan seterusnya, dengan imbangan bersih −1.5 peratus berbanding 15.1 peratus sebelum ini,” katanya.-BH Online