Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Laporan akhir nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang mengorbankan 10 pegawai dan anggotanya di Lumut, Perak akan diumumkan hari ini. 

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dimaklumkan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin pada mesyuarat Jemaah Menteri semalam.

“Dalam mesyuarat Kabinet hari ini (semalam), menteri pertahanan ada memaklumkan mengenai status terkini laporan penuh nahas dua helikopter TLDM di Lumut.


“Laporan (akhir itu) sudah siap dan akan diterbitkan esok (hari ini),” katanya pada sidang media semalam. 

Dalam tragedi 23 April lalu, 10 anggota dan pegawai TLDM terdiri tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM terkorban selepas dua pesawat itu bergesel dan terhempas ketika menjalani raptai lintas hormat sempena sambutan Ulang Tahun TLDM ke-90 di Pangkalan TLDM Lumut.

Susulan nahas itu, laporan awal dikeluarkan Lembaga Siasatan dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut mendedahkan terdapat lima fakta berhubung tragedi itu.

Laporan awal itu antaranya menyatakan semua kru terbabit dalam kejadian berkenaan berada pada tahap kesihatan yang baik untuk mengendalikan pesawat dan tahap kelayakan penerbangan kru udara terbabit juga masih sah dan tidak tamat tempoh.

Kedua-dua helikopter itu juga disahkan dalam keadaan selamat untuk terbang pada hari kejadian, dengan pesawat HOM AW139 mempunyai kotak hitam, manakala pesawat Fennec yang dikeluarkan pada 2003 dan berusia 21 tahun tidak dilengkapi peralatan itu.-BH Online