Kerajaan menyasarkan pelaburan sekurang-kurangnya RM500 bilion untuk fasa pertama dalam Pelan Strategik Semikonduktur Kebangsaan (NSS) dengan pelaburan langsung domestik (DDI).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia memfokuskan kepada reka bentuk litar bersepadu (IC), pembungkusan termaju dan peralatan pembuatan.
“Ia turut melibatkan pelaburan langsung asing (FDI) yang memfokuskan kepada Wafer Fab dan peralatan pembuatan,” katanya berucap pada Persidangan SEMICON Southeast Asia 2024 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Beliau berkata, menjelang fasa kedua, kerajaan akan menubuhkan sekurang-kurangnya 10 syarikat dalam reka bentuk dan pembungkusan termaju dengan pendapatan antara RM1 bilion sehingga RM4.7 bilion
“Sekurang-kurangnya 100 syarikat berkaitan semikonduktor dengan pendapatan ditutup kepada RM1 bilion untuk mewujudkan gaji yang lebih tinggi untuk pekerja Malaysia,” katanya.
Selain itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia juga akan dibangunkan sebagai hab penyelidikan dan pembangunan (R&D) global untuk semikonduktor.
“Kita akan menampilkan universiti bertaraf dunia, R&D korporat dan pusat kecemerlangan, menggabungkan bakat terbaik Malaysia dan antarabangsa,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan, NSS juga akan memastikan sekurang-kurangnya 60,000 jurutera berkemahiran tinggi dapat dilatih dan ditingkatkan kemahirannya.
Sehubungan itu, kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperuntuk sekurang-kurangnya RM25 bilion sokongan fiskal untuk mengoperasikan NSS.
“Butirannya akan diumumkan oleh MITI tidak lama lagi.
“Pasukan Petugas Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSSTF), dengan CREST akan berkhidmat sebagai Sekretariat menumpukan kepada memupuk inovasi, meningkatkan keupayaan penyelidikan dan pembangunan, dan memacu pengkomersilan teknologi semikonduktor,” katanya lagi. – MalaysiaGazette