Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Sebanyak AS$460 bilion (RM2.158 trilion) akan disuntik dalam cadangan projek Hab Tenaga Baharu Sarawak (SNEH) di Bintulu, mulai tahun ini hingga 2050.

Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, ia turut merangkumi perbelanjaan yang ditanggung kerajaan serta pelaburan swasta.

“SNEH yang dipacu oleh tenaga baharu, terutamanya kuasa hidro dari empangan akan menghasilkan sumber tenaga boleh diperbaharui.

“Ia antaranya tenaga hidrogen dan ammonia yang akan kita eksport ke negara lain di rantau ini, khususnya Korea Selatan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri taklimat syarikat Samsung E&A Corporation di Seoul, Korea Selatan, hari ini.

Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Seri Julaihi Narawi; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni dan Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC), Tan Sri Abdul Aziz Hussain.

Taklimat di Samsung E&A yang disampaikan oleh Naib Presiden Eksekutifnya, Park Cheon Hong itu mengakhiri lawatan kerja dua hari Abang Johari ke Korea Selatan.

Mengulas taklimat itu, Abang Johari berkata, antara lain ia menyentuh kajian semula projek hidrogen H2biscus serta SNEH yang dilaksanakan oleh syarikat Samsung E & A, LOTTE Chemical Corporation dan Korean National Oil Corporation (KNOC) dengan SEDC Energy, anak syarikat SEDC.

Sebelum sesi taklimat itu, kerajaan Sarawak melalui SEDC Energy, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya, Robert Hardin, menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama (JDA) untuk projek H2biscus.

Samsung Engineering akan melaksanakan Kerja Reka Bentuk Kejuruteraan Bahagian Depan (FEED) untuk loji hidrogen hijau dengan kapasiti tahunan 150,000 tan dan loji penukaran ammonia hijau dengan kapasiti 850,000 tan.

Dalam lawatan dua hari itu, Abang Johari turut mengadakan pertemuan dengan pegawai Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan serta ketua industri tenaga negara itu.

Sementara itu, Abang Johari berkata, Sarawak komited untuk mencapai sasaran menjana tenaga hingga 10 gigawatt (GW) pada 2030 bagi memenuhi permintaan yang menggalakkan, terutamanya bagi tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, Kesatuan Eropah (EU) juga sudah menyatakan hasrat untuk bekerjasama dalam bidang tenaga boleh diperbaharui semasa lawatan duta mereka ke Kuching, baru-baru ini.

“Mereka turut menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan bagi menubuhkan bank EU di Sarawak bagi menyediakan sumber pembiayaan pelaburan sektor tenaga hijau,” katanya.-BH Online