Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan sambutan rasmi di Amiri Diwan bersempena lawatan tiga hari beliau ke negara Arab Teluk ini.
Ketibaan Perdana Menteri jam 10.30 pagi (3.30 petang waktu Malaysia) disambut Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani.
Amiri Diwan adalah dewan pemerintahan Qatar. Ia adalah badan berdaulat yang turut menempatkan pejabat pentadbiran Emir Qatar.
Anwar tiba di Qatar malam tadi atas jemputan Emir Qatar dan ia cukup penting terutama dalam meraikan 50 tahun hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar sejak 1974.
Ia lawatan pertama Anwar ke Qatar selepas dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 Malaysia pada November 2022, dengan antara pengisian termasuk untuk menghadiri Forum Ekonomi Doha (DEF) 2024.
Mengiringi beliau dalam lawatan ini adalah Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Dalam pada itu, Perdana Menteri sebaik selesai upacara sambutan rasmi di Amiri Diwan, berkesempatan menghadap dan mengadakan pertemuan empat mata bersama Emir Qatar.
Beliau turut mengadakan pertemuan bersama rakan sejawatnya, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman Al Thani yang juga Menteri Luar Negeri Qatar.
Pertemuan kedua antara Anwar dan Sheikh Mohammad selepas masing-masing bertemu di Riyadh akhir bulan lalu, cukup signifikan dalam konteks berkaitan konflik Palestin-Israel.
Malaysia antara negara yang cukup lantang dalam menyuarakan isu berkaitan Palestin, manakala Qatar memainkan peranan amat signifikan sebagai jambatan diplomatik dalam mendepani isu sama, termasuk sebagai mediator utama perang di Gaza antara Israel dan Palestin.
Perdana Menteri mengisi jadual cukup padat di Qatar yang merekodkan pendapatan perkapita tertinggi di dunia, dengan antara misi utama untuk menarik pelaburan ke Malaysia.
Jumlah dagangan dua hala Malaysia dan Qatar pada 2023 ialah RM4.2 bilion, konsisten tertinggi sejak kali pertama merekodkan angka AS$1 bilion pada 2022.-BH Online