Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan meluluskan pemberian vaksin kombinasi Tetanus-Difteria-Pertussis (DTAP) kepada ibu hamil bermula hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata vaksin itu penting bagi melindungi bayi yang baru lahir daripada jangkitan penyakit Pertussis.

“Kerajaan turut meluluskan pelaksanaan kombinasi DTAP kepada ibu mengandung.

“Ia dijangka akan bermula pada hujung tahun 2024 untuk melindungi bayi baru lahir daripada jangkitan penyakit Pertussis atau batuk kokol,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Imunisasi Kebangsaan dan Sidang Kemuncak Imunisasi Kebangsaan 2024 di sini, hari ini.

Dzulkefly berkata, vaksin terbabit akan diberikan secara percuma kerana ia termasuk dalam Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

Selain DTAP, beliau berkata, kerajaan juga sedang mempertimbangkan bagi memasukkan vaksin influenza ke dalam program NIP khusus untuk golongan warga emas.

“Kita sedang pertimbang vaksin influenza (masuk dalam NIP), masih dalam pertimbangan kerana kita tahu warga emas terdedah kepada risiko (jangkitan).

“Saya harap mungkin untuk tahun depan, dalam Bajet 2025 atau seterusnya kita akan mohon untuk dimasukkan dalam NIP khas untuk golongan warga emas,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai DTAP, Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Program Immunise4life, Prof Datuk Dr Zulkifli Ismail, berkata vaksin sesuai diberikan kepada ibu hamil yang kandungannya berusia 27 hingga 32 minggu.

Jelasnya, vaksin berkenaan akan diberikan satu dos untuk setiap kandungan.

“Jika ibu itu mengandung setiap tahun, setiap tahun dia akan diberi vaksin terbabit,” katanya.-BH Online