Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Formula UMNO untuk merampas kerusi yang menyaksikan calon parti itu tewas dan berada di kedudukan kedua pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) disifatkan penganalisis politik mampu dilaksanakan walaupun Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) mengekalkan kerjasama pada PRU16.

Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Azmi Hassan, berkata berdasarkan data PRU15, pertindihan kerusi antara PH dan BN tidak banyak, berbanding antara BN dan Perikatan Nasional (PN).

Di Semenanjung katanya, daripada 165 kerusi Parlimen, PH mendahului BN di kira-kira 70 kerusi.

“Kerusi yang bertindih dengan PH memang ada tapi tidak banyak. Jadi bagi saya, formula dalam kes bertindih kerusi PH dan UMNO ini adalah mula-mula lihat siapa yang menang dan berapa (majoriti) yang menang.

“Saya rasa formula itu boleh digunakan dengan agak mudah kerana data PRU15 itu adalah data yang bagus disebabkan kedua-dua pihak sudah bekerjasama.

“Justeru, isu pembahagian kerusi ini, walaupun UMNO bersama dengan PH, tidak ada isu sangat kerana yang banyak pertindihan kerusi adalah antara UMNO dan BERSATU serta PAS,” katanya kepada BH, hari ini.

Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggariskan formula untuk UMNO menambah dominasi parti itu di Dewan Rakyat, berbanding 26 kerusi Parlimen ketika ini.

Katanya, pada PRU16, parti itu mahu merampas kembali kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), yang calonnya tewas dan berada di kedudukan kedua pada PRU15 serta Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, formula itu boleh digunakan dan akan dibincang bersama parti lain dalam Kerajaan Perpaduan untuk diselesaikan.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu, kelmarin yang dimenangi PH, menunjukkan jika jumlah pengundi Melayu di bawah 50 peratus, calon DAP perlu diletakkan di kawasan berkenaan.

“Di Semenanjung, ada 50 kerusi yang mempunyai kurang 50 peratus pengundi Melayu. Kerusi yang akan menjadi rebutan antara PH dan BN adalah yang mempunyai 50 hingga 65 peratus pengundi Melayu, iaitu 43 kerusi. 

“Bagi kawasan yang mempunyai pengundi Melayu lebih 65 peratus, iaitu kira-kira 70 kerusi, ini memang kekuatan PN dan sebab itu, BN harus diberi peluang di sini kerana percaturannya pengundi Melayu,” katanya.

Mengenai langkah yang perlu diambil UMNO untuk menarik sokongan Melayu, Azmi berpendapat, parti itu perlu mengekalkan kesederhanaannya, namun tidak boleh dilihat lemah dalam Kerajaan Perpaduan.

“UMNO perlu berada dalam kerajaan untuk menjaga kepentingan Melayu dan Islam, berbanding PAS dan BERSATU yang hanya mampu beretorik kerana berada luar kerajaan dan tidak boleh melaksanakan apa yang dicadangkan.

“Apabila ada masalah dalam Kerajaan Perpaduan, ada isu berkaitan kepentingan orang Melayu dan agama Islam, UMNO perlu bersuara. 

“Bila perkara itu ditimbulkan DAP, UMNO perlu berdebat dengan DAP. Itu cara sebaik-baiknya untuk memberi gambaran yang UMNO ada kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam berpendapat, berdasarkan komposisi semasa, strategi pengukuhan yang bakal dilakukan UMNO tidak akan melepasi kadar keselesaan parti komponen Kerajaan Perpaduan, iaitu PKR dan DAP. 

“Ini bakal mengambil kira persaingan sihat antara parti dan status quo semasa, iaitu komposisi yang membentuk kerajaan sekarang ini,” katanya.-BH Online