Sorting by

×

Estithmar Holding dan Baladna, antara syarikat terbesar dari segi permodalan pasaran di Qatar, adalah sebahagian daripada beberapa syarikat utama negara Teluk itu menghadiri mesyuarat meja bulat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dihoskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI).

Baladna, syarikat pegangan saham awam yang ditubuhkan pada 2014, adalah pengeluar tenusu dan minuman terbesar di Qatar dan membekalkan lebih 95 peratus daripada bekalan susu segar negara itu.

Sementara itu, Estithmar Holding adalah syarikat senaraian awam Qatar dan memiliki 51 syarikat yang beroperasi dalam empat sektor strategik iaitu penjagaan kesihatan, perkhidmatan, kontrak dan industri, serta usaha niaga.

Pertemuan meja bulat Perdana Menteri dengan pemimpin industri itu adalah sebahagian daripada usaha agresif Malaysia untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara.

Lebih 30 eksekutif tertinggi dan pemimpin perniagaan mengambil peluang untuk bertemu dengan Anwar yang memberi taklimat kepada mereka mengenai iklim terkini pelaburan di Malaysia, sambil meyakinkan mereka bahawa negara boleh menjadi destinasi pelaburan pilihan mereka dan rakan perdagangan yang kompetitif.

Anwar, yang juga Menteri Kewangan, kini sedang dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Qatar sebagai sebahagian daripada misi untuk menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan berpotensi kepada pelabur negara terbabit.

Syarikat yang menghadiri pertemuan meja bulat itu kebanyakannya daripada sektor perkhidmatan, pembuatan serta pelaburan.

Syarikat lain yang turut menyertainya termasuk Taleb Group, Morex Group, Tamam Capital dan Al Mana Group.

Anwar meluangkan masa kira-kira sejam dalam sesi interaktif berbincang dan memaklumkan perkembangan terkini mengenai ekonomi Malaysia, ekosistem perniagaan serta Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 kepada ahli perniagaan Qatar.

Sesi itu diperantarakan oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Selain menarik pelaburan berpotensi melalui mesyuarat meja bulat itu, Malaysia juga berharap dapat meningkatkan kesedaran dalam komuniti perniagaan Qatar untuk mendapatkan lebih banyak produk serta perkhidmatan dari Malaysia.

Ini dilihat sebagai penting ketika kedua-dua negara memulakan fasa baharu kerjasama tatkala meraikan ulang tahun ke-50 perdagangan dua hala tahun ini.

Tahun lalu, perdagangan dua hala Malaysia dengan Qatar berjumlah RM4.2 bilion, dengan negara Teluk itu menjadi rakan dagang kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat.

Bagi tempoh Januari hingga Mac 2024, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat sebanyak 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (AS$303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (AS$116.7 juta) pada tempoh yang sama pada 2023.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) Qatar adalah antara negara terkaya di dunia, dengan pendapatan per kapita hampir AS$96,610 pada 2020.

Dilaporkan bahawa petroleum dan gas asli adalah sumber utama ekonominya, dengan Qatar memiliki salah satu rizab gas asli terbesar di dunia. – BERNAMA