Sarawak kini menjadi penyumbang ketiga terbesar keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia selepas Kuala Lumpur dan Selangor.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata usaha berterusan kerajaan negeri menjana pendapatan khususnya menerusi ekonomi baharu berjaya meletakkan wilayah ini pada kedudukan itu, sekali gus memintas kedudukan Johor.
Justeru katanya, kerajaan Sarawak kini menetapkan sasaran untuk mencapai kedudukan sebagai penyumbang kedua terbesar kepada KDNK Malaysia sebelum pilihan raya negeri akan datang.
“Untuk itu, kita harus yakin dan mengatur strategi supaya KDNK kita terus meningkat dan saya yakin kita mampu mengatasi Selangor.
“Sama ada ini boleh atau tidak, terpulang kepada kita untuk mengatur strategi ekonomi kita dan ini yang kita sasarkan sebelum pilihan raya negeri akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Ramah Tamah Aidilfitri Majlis Tertinggi Parti Persaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Hotel Sheraton, di sini, malam tadi.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar.
Abang Johari yang juga Presiden PBB, berkata, usaha untuk meningkatkan KDNK itu antara langkah membuktikan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sedang menuju ke arah yang betul.
Pada masa sama, beliau turut menyatakan keyakinan terhadap komitmen PBB untuk melahirkan pemimpin muda untuk meneruskan legasi parti dan memacu pembangunan negeri pada masa hadapan.
“Kita perlu melatih generasi muda untuk menjadi pemimpin yang kuat dan relevan pada masa hadapan serta mengelak isu seperti politik wang.
“Setakat ini, kita dapat menguruskan parti kita dengan baik dan ini boleh memberi ruang kepada golongan muda untuk memimpin pada masa hadapan,” katanya.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan keadaan akan sentiasa berubah yang membuatkan landskap politik juga akan turut berubah.
“Justeru, dalam memastikan kestabilan politik kita juga harus bersedia untuk menguruskan ekonomi dengan cara baharu,” katanya.-BH Online