Sorting by

×

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menggesa penguatkuasaan di sempadan negara dipertingkat bagi mengekang risiko kemasukan haram haiwan seperti kambing dan lembu terutama menjelang Aidiladha.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata selain menjejaskan penternak tempatan, kemasukan ternakan itu tanpa melalui proses ditetapkan undang-undang dikhuatiri membawa penyakit.

“Ternakan seperti kambing yang diseludup masuk ada dijual RM280 hingga RM300 seekor, sedangkan penternak tempatan perlu jual sekurang-kurang RM600 seekor kerana perlu mengambil kira kos makanan dan penjagaan ternakan… jika di Lembah Klang harganya boleh mencecah RM1,000 seekor. 

“Jadi kemasukan ternakan secara haram ini akan menjejaskan penternak tempatan terutamanya di Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perak. Sudah pasti kita perlu utamakan penternak tempatan. 

“Kita juga bimbang, ternakan yang masuk ini membawa penyakit kerana tidak melalui proses pemeriksaan dan kelulusan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Simposium Pengembangan Subsektor Tanaman Jabatan Pertanian Tahun 2024 di sini, hari ini. 

Pada majlis itu Mohamad turut melancarkan kemudahan khidmat pengembangan bergerak dikenali Klinik Doktor Pokok yang menyediakan kemudahan seperti makmal mini untuk khidmat analisis air dan tanah, diagnostik penyakit dan perosak), selain bahan rujukan, ruangan perbincangan dan kemudahan pameran.

Beliau berkata, setakat ini perkhidmatan berkenaan disediakan di empat negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka serta Johor dan akan dikembangkan ke setiap negeri. 

“Untuk yang menghadapi masalah tanaman seperti kerosakan atau terkena penyakit boleh dihubungi doktor pokok.

“Mereka dibekalkan alat moden untuk mengesan penyakit dengan segera dan menasihatkan pekebun dengan penyelesaian segera mengikut ilmu yang dibekalkan kepada mereka,” katanya.-BH Online