Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju supaya pembinaan Lebuh Raya Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Bentong ke Simpang Pelangai di sini diteruskan demi manfaat rakyat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam berkata, pembinaan laluan sepanjang 35 kilometer itu akan memberikan manfaat besar khususnya kepada penduduk setempat sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan.

“Setakat ini alhamdulillah pertemuan bersama Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pada Ramadan tempoh hari telah menggambarkan satu perkara yang positif untuk LTU terus ke Simpang Pelangai.

“Itulah antara yang kita punya perjuangan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai untuk mendapatkan satu jalan terbaik bagi memudahkan semua penggguna jalan raya dan untuk meneruskan perkara ini Perdana Menteri bagi keyakinan utk meneruskan (pembinaan LTU ke Pelangai),” katanya dalam sidang akhbar pada majlis sambutan Aidilfitri Kerajaan Perpaduan Pahang di Padang Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Pelangai di sini hari ini.

LTU atau sebelum ini dikenali sebagai Central Spine Road yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan dengan Kuala Pilah di Negeri Sembilan tanpa tol sejauh 325 kilometer membabitkan enam fasa pembinaan dengan kos lebih RM7.3 bilion dengan fasa pertama hingga lima dijangka siap sepenuhnya pada awal 2026.

Sebelum ini pelaksanaan pelan asal LTU melibatkan fasa enam ke Simpang Pelngai tidak termasuk dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan projek itu terhenti di Sertik, Bentong.

Sementara itu Amizar berkata, sambutan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Perpaduan Pahang yang julung kali diadakan mendapat sambutan memberangsangkan dengan kehadiran kira-kira 7,000 orang.

Katanya, selain masyarakat setempat sambutan hari raya berkenaan turut dihadiri oleh semua parti komponen dalam Pakatan Harapan termasuk DAP, PKR dan Amanah.

“Ini adalah titik mula untuk kita, bagaimana Kerajaan Perpaduan di Pahang dapat digerakkan dan menjadikan satu perkara positif kepada kerajaan Pahang di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE