Sorting by

×

Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat melawat keluarga Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503, Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohamad Marzukhi yang terkorban dalam tragedi helikopter terhempas baru-baru ini.

Menurut hantaran di laman Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, lawatan Raja Permaisuri Agong di kediaman keluarga mangsa di Taman Senawang Perdana, Negeri Sembilan disambut oleh balu dan anak-anaknya.

“Suasana pilu menyelubungi rumah Allahyarham ketika lawatan Raja Permaisuri Agong bertemu balu Allahyarham, Siti Aisyah Mohd Roslan bersama dua anak lelaki berumur tujuh dan dua tahun.

“Seri Paduka Baginda meluangkan masa bertanyakan khabar balu, kedua ibu bapa dan dua adik arwah sebelum mengurniakan sumbangan peribadi kepada Siti Aisyah,” katanya di sini hari ini.

Hadir sama mengiringi Seri Paduka Baginda, Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Isteri Menteri Pertahanan, Datin Seri Rosni Omar, dan isteri Timbalan Menteri Pertahanan, Dalilah Awaludin.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Senawang, Negeri Sembilan Khamis lepas.

Dalam insiden pukul 9.32 pagi pada hari Selasa minggu lepas, dua helikopter iaitu Pesawat HOM (M503-3) membawa empat kru dan tiga penumpang dan Pesawat Fennec dinaiki tiga kru terhempas selepas bergesel di udara di Pangkalan TLDM Lumut. – KOSMO! ONLINE.