Kerajaan akan mengumumkan mekanisme dan kriteria membabitkan rasionalisasi subsidi dalam tempoh berapa minggu akan datang, kata Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.
Justeru, katanya, kerajaan akan memberi penerangan khusus berhubung implikasi mengenai mekanisme dan kriteria yang akan diumumkan kepada setiap lapisan masyarakat.null
“Jika kita dapat melaksanakan (rasionalisasi subsidi) anggaran Bank Dunia menunjukkan bahawa peralihan penjimatan subsidi ini kepada bantuan sosial boleh menggandakan pengurangan kadar kemiskinan dan dapat menjana sumbangan kepada penjimatan fiskal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan Laporan Pemantauan Ekonomi Malaysia (MEM) 2024 Bank Dunia bertajuk ‘Bending Bamboo Shoots: Strengthening Foundational Skills’ di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengurus Negara Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Yasuhiko Matsuda.
Sebelum ini, firma penyelidikan mendedahkan bahawa impak positif program rasionalisasi subsidi dijangka dirasai tahun depan dengan kedudukan fiskal negara diunjurkan lebih kukuh, meskpun pelaksanaannya memberi kesan kepada penggunaan agregat.
Justeru, perkembangan berkenaan dijangka mengubah sentimen pelabur yang akan lebih berkeyakinan terhadap pasaran tempatan pada separuh kedua tahun ini.
BIMB Securities Research menjangkakan usaha pembaharuan yang dilaksanakan kerajaan pada 2024 akan membuahkan hasil tahun depan.
Ia berkata, dengan jangkaan prospek yang lebih cerah 2025 berikutan kejelasan yang lebih baik mengenai hala tuju dasar Amerika Syarikat (AS) dan kedudukan fiskal Malaysia yang jauh lebih mantap akan menjadi pemacu yang akan menggembirakan pelabur.
Katanya, defisit fiskal berkemungkinan berada dalam lingkungan kira-kira 3.0 peratus pada 2025 berikutan pelaksanaan inisiatif rasionalisasi subsidi.
Malah jelasnya, gabungan pelbagai faktor juga akan memacu ringgit lebih tinggi, yang dijangka merapatkan jurang mata wang tempatan itu terhadap nilai saksamanya.
Sementara itu, Rafizi berkata, pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) memberi ruang mencukupi kepada kerajaan untuk melaksanakan rasionalisasi subsidi dan peralihan daripada model regresif subsidi menyeluruh.
“Dengan tahap data yang diperlukan ini, kami boleh meminimumkan ralat dan memastikan pengagihan subsidi yang saksama kepada mereka yang paling memerlukannya,” katanya.
Beliau menjelaskan konsolidasi kedudukan fiskal akan membantu kerajaan meneroka pertumbuhan baharu.
“Itulah sebabnya kerajaan melancarkan Pelan Tindakan KL20, satu siri pembaharuan holistik, yang akan meletakkan Kuala Lumpur sebagai syurga seterusnya untuk modal teroka (VC) dan pengasas syarikat pemula niaga,” katanya.
Berhubung Dasar Gaji Progresif, Rafizi berkata kerajaan akan membuka pendaftaran projek perintis gaji progresif bulan depan, yang akan menjadi kajian kes untuk penggunaan yang lebih meluas di seluruh negara.
“Kertas putih Dasar Gaji Progresif telah dibentangkan dan diluluskan di Parlimen November lalu. Bulan depan, kami akan membuka pendaftaran untuk projek perintis, sekali gus dapat membuka lembaran baharu dalam menyelesaikan kadar gaji yang tidak stabil di negara ini,” katanya.
Mengenai perkembangan ekonomi, beliau menjelaskan, momentum positif China awal tahun ini menjadi petanda baik, namun Malaysia perlu kekal teguh untuk mengambil pandangan jangka panjang membabitkan ekonomi dan prospek pertumbuhan negara.
“Laporan membabitkan rakan dagang terbesar Malaysia itu mengimbangi jangkaan tidak lebih daripada dua pemotongan kadar faedah AS daripada enam sebelum ini, selepas inflasi negara berkenaan menokok 3.5 peratus pada Mac,” katanya.-BH Online