Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menegaskan tidak akan melindungi jika ada mana-mana pihak yang didapati terbabit dengan aktiviti kartel padi dan beras di negara ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu menjelaskan perkara itu dalam hantaran di laman Facebook beliau hari ini berikutan pertanyaan oleh sesetengah pihak mengenai isu berkenaan, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau berkata, KPKM sentiasa bersedia menyalurkan sebarang maklumat kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sekiranya benar wujud kartel padi serta beras dan tidak akan mencampuri sebarang urusan siasatan oleh MyCC.
“Antara skop tugas MyCC ini adalah menyiasat kewujudan kartel dalam ekonomi negara kita.
“Soalan ni saya dah jawab beberapa kali sebelum ini tapi mungkin mereka terlepas pandang. Moga penjelasan ini dapat memberikan pencerahan kepada semua,” katanya.– BERNAMA