Kerajaan Pahang akan membiayai kos rawatan penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri itu di Sultan Ahmad Shah Medical Centre, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (SASMEC@IIUM) di sini, bermula bulan ini.
Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata keputusan yang dibuat mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang pada 3 April lepas itu adalah inisiatif secara berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan penjawat awam dijaga.
Beliau berkata pembiayaan kos rawatan itu meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, ubat non-formulary (NF) dan implan.
Menurutnya langkah itu secara langsung dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di hospital dan juga klinik-klinik kerajaan.
“Saya mengharapkan menerusi pembiayaan ini, penjawat awam dan pesara perkhidmatan awam negeri dapat menggunakan perkhidmatan rawatan kesihatan di SASMEC@IIUM dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu Wan Rosdy berkata pembiayaan kos rawatan bagi petugas pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkuasa berkanun (PBB) yang turut meliputi penanggungan 30 peratus bil rawatan perubatan dan penanggungan 100 peratus bil rawatan ubat khas, NF dan implan ditanggung agensi masing-masing.– BERNAMA