Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia akan membantu keluarga lima pelajar Malaysia yang terbabit kemalangan di Lake Tekapo, New Zealand hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata pihaknya sedang menunggu keputusan keluarga mangsa sama ada dua mangsa yang meninggal dunia itu akan dibawa balik ke Malaysia atau sebaliknya.

“Pelajar kita di New Zealand yang kemalangan semuanya sudah diuruskan, yang cedera dan meninggal dunia telah dibawa ke hospital dan jenazah masing-masing akan diuruskan.

“Kita menunggu pihak keluarga untuk datang atau pun untuk minta apa juga bantuan yang diperlukan dan pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sana sentiasa bersedia untuk membantu.

“Jika hendak dibawa balik jenazah pun kita akan bantu, tunggulah pihak keluarga mangsa punya keputusan dan ia akan diuruskan dengan terbaik yang mungkin oleh pihak konsulat di sana,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Peringkat Parlimen Rembau Bersama Menteri Luar dan Timbalan Presiden UMNO, di Hotel Royal Chulans, di sini, malam ini.

Terdahulu, Kementerian Luar melaporkan lima pelajar Malaysia terbabit kemalangan itu dengan dua daripadanya meninggal dunia, manakala tiga lagi sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch di South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata pihaknya akan cuba menguruskan tetapi pihak hospital perlu menjalankan tugas mereka terlebih dulu dan membuat bedah siasat.

“Jadi, pihak hospital akan buat bedah siasat dulu kerana kita tidak mahu nanti ada apa-apa dakwaan atau sebarang kemusykilan di kemudian hari.

“Saya sendiri sudah berhubung dengan rakan sejawat di New Zealand dan apa saja keperluan diperlukan (keluarga mangsa), kita akan beritahu pihak berkenaan untuk dapatkan bantuan bagi melancarkan segala urusan,” katanya sambil mengucapkan takziah kepada semua keluarga mangsa.-BH Online