Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan semua pihak tidak harus mengambil tindakan sendiri ketika berdepan isu sensitif.

Merujuk insiden terkini menyasarkan premis kedai serbaneka KK Mart, Perdana Menteri berkata pihak berkuasa tidak akan sesekali bertolak ansur dengan pihak yang menggunakan isu kaum dan agama untuk memporak-perandakan agama.

“Kita sudah bagi amaran, jangan ambil tindakan sendiri. Kita akan bertindak terhadap orang yang lakukan tindakan keganasan.

“Jangan guna isu kaum dan agama untuk memporak-porandakan negara dan saya sudah beritahu polis tidak akan bertolak ansur,” katanya ketika ditemui selepas menunaikan solat Maghrib berjemaah di Masjid Al-Mutaqqin, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas insiden melempar ‘molotov koktail’ menyasarkan KK Mart di Sungai Isap di Kuantan, Pahang awal pagi tadi.

Ia insiden kedua selepas KK Mart Bidor di Perak menjadi sasaran kejadian sama pada 26 Mac lalu.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata polis akan mengerah seluruh kekuatan bagi mengawal dan mengekalkan ketenteraman awam di negara ini susulan insiden menyasarkan KK Mart Sungai Isap itu.

Beliau berkata, polis memandang serius percubaan membakar KK Mart itu yang merupakan insiden kedua selepas perkara serupa berlaku di KK Mart Bidor.-BH Online