Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pertahanan berharap lelaki yang disyaki ejen perisikan Israel yang ditahan Rabu lalu, disiasat menyeluruh bagi memastikan tiada sebarang rangkaian perisikan asing diwujudkan di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata langkah itu penting sekali gus memastikan tiada perisik Israel serta tali barut mereka yang membolosi masuk ke negara ini.

Apatah lagi, katanya, Malaysia bersuara lantang dalam soal mempertahankan rakyat Palestin yang diserang Israel.

“Saya harap siasatan (menyeluruh) dapat dijalankan ke atas lelaki warga Israel yang ditahan itu. Ini kerana kita tidak tahu berapa ramai lagi ejen perisikan Israel yang mungkin masih ada (dalam negara).

“Difahamkan ada lima orang bersama beberapa senjata ditemui, namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya buat rampasan.

“Pokoknya mungkin, kehadiran perisik Israel ini kerana pendirian negara yang dalam mempertahankan Palestin dan menentang tindakan kejam Israel di Gaza.

“Maknanya kita dapat kesan bukan sahaja serangan siber kerana pendirian kita, tapi hari ini kita dapat lihat ejen perisikan masuk dalam negara dengan banyak senjata yang kita pun tak tahu apa tujuannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas meninjau Blok Rumah Keluarga Angkat Tentera (RKAT) Desa dan Lapang Sasar Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), di Ulu Tiram, di sini, hari ini.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim.

PDRM dilapor menahan seorang lelaki warga Israel bersama enam pucuk senjata api serta 200 butir peluru di sebuah hotel di Jalan Ampang di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dilaporkan berkata, lelaki berusia 36 tahun itu dikesan masuk ke negara ini melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 Mac lalu dengan menggunakan pasport Perancis.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled yang juga Ahli Parlimen Kota Tinggi berkata, sebarang kerjasama dengan PDRM bagi menangani isu pembolosan perisik termasuk Israel di negara ini, hanya akan dilakukan sekiranya ada permintaan daripada agensi berkenaan.

“Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ada bidang kuasa tersendiri begitu juga PDRM.

“Dalam soal keamanan, ia di bawah bidang kuasa PDRM. Saya percaya PDRM mampu melaksanakan tanggungjawab ini dengan baik. 

“ATM juga ada bidang kuasa kita bagi menjaga kedaulatan dan keselamatan negara terus terjamin. Bagaimanapun, Kementerian Pertahanan akan meningkatkan kawalan keselamatan negara supaya terus dijaga dan dilindungi,” katanya.-BH Online