Kementerian Luar mengesahkan dua pelajar Malaysia maut dalam insiden kemalangan jalan raya di Lake Tekapo di New Zealand hari ini.
Wisma Putra melalui satu kenyataan memaklumkan, tiga lagi pelajar Malaysia lain yang turut terbabit dalam kemalangan sama sudah diterbangkan ke Hospital Christchurch di South Islands, New Zealand untuk mendapatkan rawatan segera.
“Kementerian Luar melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington ingin mengesahkan insiden kemalangan jalan raya yang membabitkan lima pelajar Malaysia di Lake Tekapo pada jam 1.45 tengah hari waktu tempatan semalam.
“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington dengan bantuan komuniti Malaysia di Christchurch, sedang menghulurkan bantuan konsular sewajarnya kepada mangsa dan ahli keluarga bagi memastikan pengurusan kebajikan semua mangsa berjalan dengan lancar,” katanya.
Dalam pada itu, Wisma Putra berkata, pihaknya sedia membantu sekiranya waris membuat keputusan untuk membawa pulang jenazah ke Malaysia, selain merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terbabit dalam insiden ini.
Sementara itu, seorang jurucakap Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Wellington ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan nama pelajar yang meninggal dunia dalam nahas itu ialah Megat Ashman Aqif Megat Irman Jefni dan Wan Nur Adlina Alisa, kedua-duanya adalah penuntut University of Canterbury.
Tiga pelajar yang cedera pula membabitkan dua penuntut universiti sama iaitu Nur Firas Wafiyyah dan Lya Issable Walton, selain Muhamad Faris Mohd Fairusham daripada Victoria University Wellington.
Terdahulu, media tempatan New Zealand melaporkan insiden kemalangan itu membabitkan dua kenderaan dan sebuah motosikal, berlaku di State Highway 8 berhampiran Tasik Pukaki.
Laporan yang memetik pegawai polis tempatan, Craig McKay itu memberitahu, selain penunggang motosikal, turut maut dalam kejadian itu adalah dua mangsa yang berada dalam sebuah kereta.-BH Online