Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang sentiasa membuat pemantauan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) bukan hanya bertujuan untuk menyelesaikan isu kesesakan di lokasi terbabit yang telah lama membelenggu rakyat.-ADVERTISEMENT-Ads by

Malah Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, tindakan Onn Hafiz juga demi memperjuangkan kebajikan serta keselesaan pegawai kerajaan yang bertugas di pintu masuk negara itu.

Katanya, isu CIQ ini membabitkan ratusan ribu rakyat Malaysia khususnya Bangsa Johor yang berulang-alik setiap hari dan sudah semestinya menjadi keutamaan kerajaan untuk menyelesaikannya.

“Menteri Besar Johor bukan sahaja semata-mata mahukan komitmen tinggi para pegawai kerajaan yang berada di CIQ, malah turut memperjuangkan sekali kebajikan serta keselesaan mereka. 

“Sebutkan apa sahaja isu yang melibatkan kebajikan dan keselesaan pegawai kerajaan ini, beliau akan memperjuangkannya habis-habisan sehingga menjadi perhatian menteri berkaitan, selain Perdana Menteri. 

“Dari isu kekurangan pegawai, keselesaan pegawai, kebajikan pegawai hinggalah tempat letak kereta pegawai serta tunggakan elaun lebih masa mereka, semuanya sentiasa menjadi keutamaan beliau. Jadi di mana salahnya apabila beliau turut menuntut komitmen yang sepatutnya diberikan pegawai kerajaan bagi memberikan perkhidmatan terbaik untuk negeri ini,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Cuepacs, Abdul Rahman Mohd Nordin yang menggesa sebarang teguran kepada penjawat awam perlu dibuat secara berhemah tanpa terlalu diuar-uarkan di media sosial.

Ia susulan tindakan Onn Hafiz Ahad lalu yang meluahkan rasa kecewa apabila mendapati lebih 13 kaunter di laluan kereta tidak dibuka kepada orang ramai sehingga menyebabkan kesesakan.

Mohamad Fazli yang sentiasa bersama Onn Hafiz dalam siri lawatan ke BSI dan KSAB menegaskan kenyataan Setiausaha Agong CUEPACS itu serta sindiran Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Semenanjung Malaysia (KPISM) berkenaan keazaman Onn Hafiz untuk menyelesaikan isu kesesakan di dua lokasi penting, menggambarkan sifat tidak boleh ditegur.

Katanya sifat tidak boleh ditegur pihak tertentu ini masih ada dan sejujurnya ia tidak sihat dalam proses menambah baik mutu perkhidmatan awam.

“Apabila CUEPACS ingin menuntut kenaikan gaji atau bonus, boleh pula mereka membuat kenyataan secara terbuka…. apabila Menteri Besar Johor menuntut perkhidmatan terbaik, lain pula responnya.

“Insya-Allah rakyat dan pegawai kerajaan akan sentiasa bersama Menteri Besar Johor memperjuangkan isu ini,” katanya.-BH Online