Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Perdana Menteri hari ini memberi amaran mengenai bahana jenayah judi online yang sudah memerangkap pemimpin kanan badan keselamatan di negara jiran, Indonesia dan Thailand.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun jenayah itu masih mampu dikawal oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), namun ia bukan sesuatu yang perlu dipandang remeh.

“Di Indonesia beberapa bulan lalu, ada tokoh kanan polis terbabit dalam jenayah judi dalam talian dan dua hari lalu, ketua dan timbalan polis terpaksa berundur kerana juga terbabit dalam judi online.

“Saya beri amaran bukan mahu takutkan KPN ( Tan Sri Razarudin Husain), tapi Alhamdullilah Malaysia masih dalam tahap membanggakan, tapi tidak bermakna ia perkara yang mudah dalam zaman teknologi.

“Jenayah komersial ini adalah sesuatu ancaman baharu dan lebih canggih,” katanya katanya pada Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-217 Tahun 2024, di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Peguam Negara, Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, Panglima Angkatan Tentera (PAT), Tan Sri Mohammad Ab Rahman.-BH Online