Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali tidak menafikan berlaku kenaikan harga makanan di bazar Ramadan ketika ini.
Beliau bagaimanapun berkata, kenaikan harga itu bukan semuanya berpunca daripada kenaikan bahan mentah di pasaran yang ditentukan pasaran.
“Saya tidak nafi ada kenaikan harga makanan, tapi untuk kata semua harga barang keperluan harian naik, itu tidak betul kerana ia membabitkan tawaran dan permintaan.
“Bawang, minyak masak misalnya pernah naik tinggi sebelum ini. Saya ada terima laporan sebelum ini bahawa ada peniaga (bazar Ramadan) jual karipap sehingga RM3 sebiji, tetapi bila kita pergi ke bazar berkenaan dapati ada sembilan peniaga yang menjual kuih itu dalam harga yang berbeza termasuk menjual tiga biji RM1.
“Dalam hal ini, terletak kepada pengguna untuk memilih produk atau makanan yang rendah harganya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Jualan Rahmah (PJR) Peringkat Negeri Sembilan di tapak PJR Garden Home, Seremban 2, di sini, petang ini.
BH hari ini melaporkan terdapat peniaga di bazar Ramadan yang menjual nasi putih sehingga RM3.50 sepinggan walaupun kos sebenarnya hanya 40 sen.
Mengulas lanjut, Armizan mengakui terdapat segelintir peniaga bazar Ramadan yang cuba mengambil untung melampau dengan meletakkan harga makanan tinggi tidak munasabah.
“Saya tidak menafikan perkara itu (harga makanan tinggi)… memang ada dan bagi yang melakukan antipencatutan, kita mengeluarkan notis untuk mereka menjawab kos struktur sehingga mengenakan harga terlalu tinggi dan sebagainya.
“Dalam masa sama kita mengalu-alukan sebarang aduan daripada masyarakat dan kalau boleh buat aduan melalui saluran disediakan sebelum disiarkan dalam laman sosial.
“Bila viral dulu, pihak yang berkenaan boleh menyembunyikan bukti yang ada dan kita ada terima laporan daripada anggota penguat kuasa mengenai perkara ini,” katanya.-BH Online