Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pengangkutan memaklumkan Lesen Perubahan Sementara (LPS) diterima Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) bagi menambah perkhidmatan bas untuk menampung peningkatan penumpang sempena Aidilfitri ini meningkat.

Tanpa mendedahkan jumlah permohonan LPS diterima, Menterinya, Anthony Loke berkata ia satu perkembangan positif bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam.

“Memang setiap tahun kita memberikan LPS supaya mereka (pengusaha bas) mengadakan perkhidmatan tambahan untuk laluan yang sudah tentu sangat sibuk terutama ke pantai timur dan utara.

“Kita tahu ramai orang Melayu akan balik ke kampung mereka, jadi memang tambahan bas itu diberikan kelulusan dan kita cuba ‘fasilitate’ sebaik mungkin supaya ada pertambahan perkhidmatan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ahli Parlimen Seremban Dengan Pemimpin Setempat di Coral Heights, Sikamat, di sini, tadi. 

Pada majlis itu, sebanyak 136 surau dan 24 masjid dalam Parlimen Seremban menerima sumbangan masing-masing RM1,000 dan RM3,000 bagi mengimarahkan aktiviti sempena Ramadan ini. 

Dalam pada itu, Loke berkata, pihaknya akan memeriksa latar belakang syarikat yang memohon sebelum LPS dikeluarkan.

Mengulas penyiaran statistik kes kematian akibat kemalangan secara ‘real time’ setiap hari, beliau meminta jawatankuasa masjid dan surau mengambil kesempatan dalam majlis agama untuk memberikan kesedaran mengenai keselamatan jalan raya.

“Isu keselamatan jalan raya memang perlu kita berikan perhatian sebab kita dah mula berikan gambaran dan juga statistik setiap hari dan polis sudah memberikan kerjasama selama dua minggu,” katanya.-BH Online