Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sedia memberi bantuan khidmat kaunseling kepada keluarga remaja lelaki yang maut akibat dipukul di kolej vokasional di Lahad Datu semalam.

Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata pihaknya melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan turut menyalur bantuan dan sokongan diperlukan ahli keluarga remaja lelaki berkenaan.

“Kita sentiasa bersedia menyantuni keluarga selain kita mempunyai ramai kaunselor di seluruh Malaysia untuk bersama-sama membantu mereka yang memerlukan.

“Memang ini satu prosedur biasa dan kaunselor kita juga berkelayakan… jadi mereka tahu bagaimana mendekati (keluarga) untuk kes-kes tertentu sebegini,” katanya kepada pemberita di sini, malam ini.

Nancy berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Sinar Ramadan Kumpulan Sunway 2024 di Wisma Yatim Perempuan Islam Pulau Pinang.

Semalam, media melaporkan Muhd Nazmie Aizat Muhd Narul Azwan, 17, yang juga pelajar jurusan Bioteknologi di kolej berkenaan ditemui tidak sedarkan diri sekitar jam 6.50 pagi sebelum disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata perselisihan faham mengenai kehilangan wang berjumlah RM35 dan RM50 dipercayai punca pelajar itu mati dipukul rakan penghuni asrama

Sementara itu, ahli keluarga mangsa turut dilapor masih terkejut dan meminta diberi ruang daripada memberi sebarang kenyataan berhubung insiden itu.-BH Online