Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) meluluskan peruntukan berjumlah RM3.64 juta untuk pelbagai projek pembangunan infrastruktur, program rakyat, kemudahan awam dan perumahan di pulau bebas cukai ini tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta diperuntukkan bagi 20 projek jalan perhubungan desa (PJD), manakala RM500,000 untuk 10 projek di bawah program ameniti sosial.

Beliau berkata, KKDW turut memperuntukkan RM1.54 juta bagi 20 projek Bina Baru Program Perumahan Rakyat Termiskin dan RM600,000 untuk baik pulih PPRT yang merangkumi 30 projek.

“Peruntukan ini tidaklah begitu besar dan KKDW bersedia untuk menyalurkan peruntukan yang lebih mengikut keperluan pada tahun depan,” katanya pada Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Al Sultan Abdullah Kampung Sungai Bedaun hari ini.

Ahmad Zahid berkata, pada tahun lalu KKDW hanya memperuntukkan RM1.775 juta bagi pelbagai projek serta program rakyat di Labuan.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM1 juta adalah bagi 23 projek JPD, manakala RM50,000 untuk pelbagai program ameniti sosial. – BERNAMA