Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Komunikasi menubuhkan jawatankuasa bagi mengkaji keperluan mewujudkan Akta Keselamatan Dalam Talian seperti diarah Kabinet.

Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching, berkata ia selepas Kabinet memutuskan undang-undang baharu itu diwujudkan selain mengarahkan pihak berkenaan mengkaji keperluan akta itu.

Ketika ini, katanya, kerangka Rang Undang-Undang (RUU) Keselamatan Dalam Talian sedang diperhalusi Kementerian Komunikasi dan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Ada kemungkinan RUU ini boleh dibawa ke Parlimen, diluluskan pada sidang (Parlimen) akan datang,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Mumtaz Md Nawi (PN-Tumpat) yang meminta penjelasan sama ada kerajaan berhasrat menggubal akta mengenai keselamatan dalam talian.

Mumtaz turut bertanya jika kerajaan bercadang menjadikan aduan awam di media sosial sebagai laporan maklumat pertama (FIR) untuk tindakan lanjut.

Nie Ching turut menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) sama ada kerajaan bercadang mewajibkan penyedia perkhidmatan platform media sosial di negara ini, berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Nie Ching berkata, perkara itu sedang diteliti dan MCMC dalam proses melengkapkan kerangka pelesenan.-BH Online