Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) meletakkan sasaran 15,000 penyertaan dan pengumpulan 300,000 kilogram (kg) pada Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai tahun ini.

Inisiatif dengan usahasama PETRONAS Dagangan Berhad itu bertujuan mengembangkan potensi penghasilan biobahan api yang lestari menggunakan minyak masak terpakai bagi mengurangkan kadar pelepasan gas rumah kaca (GHG).

Sehubungan itu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata program terbabit juga akan diperluas stesen minyak PETRONAS terpilih di seluruh negara secara berperingkat.

Menurutnya, penganjuran program sejak Jun lalu, itu antara lain mampu meningkatkan kesedaran orang ramai untuk menjaga alam sekitar, selain berupaya menjana pendapatan tambahan isi rumah.

Justeru beliau menggalakan orang ramai mengumpul minyak masak terpakai (UCO) dan seterusnya dibawa ke stesen minyak terpilih PETRONAS atau bazar Ramadan berkenaan untuk dijual.

“Ini juga adalah langkah proaktif dalam persediaan mengkomersilkan biobahan api penerbangan lestari (SAF) bagi memenuhi sasaran pertumbuhan neutral karbon di sektor penerbangan antarabangsa menjelang 2050.

“Harga pembelian semula UCO ditawarkan PETRONAS adalah RM3 sekilogram manakala RM2.50 sekilogram bagi kawasan di Pantai Barat dan Timur Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

“Sebanyak 205,000 kilogram UCO berjaya dikumpulkan daripada 35 stesen minyak PETRONAS, membabitkan penyertaan 11, 593 orang awam dari Julai 2023 sehingga Februari lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Ikhlas Ramadan bersama Gas PETRONAS di Bazar Ramadan dekat Bazar Ramadan Desa Pandan di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Perladangan dan Komoditi) KPK, Datuk Razali Mohamad dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad, Azrul Osman Sani.

Johari berkata KPK dan PETRONAS Dagang Berhad akan memperluas program berkenaan bukan sahaja di stesen minyak PETRONAS tetapi di bazar Ramadan terpilih seperti di Desa Pandan di sini, serta di USJ4, Bandar Kinrara, Puchong Prima dan Puncak Jalil (PUJ3) dekat Selangor.

“Kita sasarkan inisiatif ini dapat diperluas di bazar di seluruh negara pada tahun akan datang, dalam usaha membantu negara terus memelihara alam sekitar sekali gus membantu meningkatkan pendapatan tambahan isi rumah seluruh rakyat di Malaysia.

“Sempena inisiatif ini, PETRONAS juga akan menjalankan program impak sosial iaitu ‘Ikhlas Ramadan’ bersama Gas PETRONAS dengan menyumbang gas memasak kepada peniaga di bazar Ramadan terpilih.

“Sumbangan ini selaras nilai MADANI seperti digariskan kerajaan. Syabas diucapkan kepada pihak PETRONAS,” katanya yang juga Naib Presiden UMNO dan Ahli Parlimen Titiwangsa.-BH Online