Sorting by

×

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menegaskan bahawa bukan parti itu yang meruntuhkan Muafakat Nasional (MN).

Justeru itu, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata buat masa ini, adalah lebih baik UMNO bersama rakan-rakannya dalam Kerajaan Perpaduan.

“Saya fikir buat masa ini, biarlah kami bersama-sama dengan rakan dalam Kerajaan MADANI bagi membentuk kekuatan dan kestabilan politik,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Santunan Kasih Ramadan di Masjid Batang Merbau di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan PAS supaya kerjasama antara kedua-dua parti MN dihidupkan semula.

Ahmad Zahid juga berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang sedang berlaku dan biarlah politik itu berdasarkan kepada sistem demokrasi dengan menggunakan nilai-nilai Islam sebagai keutamaan.

Sebelum ini, Mursyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin berkata beliau yakin kerjasama antara parti itu dan UMNO masih boleh dihidupkan kembali melalui MN.

Untuk rekod, MN adalah kerjasama politik antara UMNO dan PAS yang dibentuk pada 14 Sept 2019 susulan Himpunan Penyatuan Ummah.-BERNAMA