CelcomDigi Bhd komited untuk terus memacu transformasi rangkaian 5G di Malaysia sekali gus menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan dalam mendigitalkan perniagaan mereka.
Ketua Pegawai Perusahaan Perniagaan CelcomDigi, Afizulazha Abdullah, bagi merealisasikan hasrat itu, pihaknya menjalin kerjasama dengan rakan kongsi antaranya Amazon Web Services (AWS) dan Ericsson.
“Apabila anda melihat penggunaan 5G, perkara biasa yang selalu diperkatakan adalah mengenai rangkaian dan ia adalah salah satu daripada bahagian ekosistem yang sangat besar.
“Jadi, bagaimana untuk membina ekosistem? Anda perlu mempunyai rakan. Anda tidak boleh melakukan ekosistem 5G sendiri dan kerana itu, penting bagi kami mempunyai rakan kongsi yang bagus seperti AWS dan Ericsson yang boleh membantu kami membina ekosistem tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri perbincangan meja bulat MY5G CEO, di sini, baru-baru ini.
Yang turut hadir, Ketua Teknologi AWS, Oliver Klein dan Penasihat Strategik Eksekutif kepada Pegawai Eksekutif Kumpulan (CEO) Ericsson, Jan Abrahamsson.
Sesi meja bulat itu turut merangkumi perbincangan dan kerjasama transformasi 5G serta peluang baharu untuk kemajuan perusahaan di Malaysia terutamanya bagi mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara.
Siri MY5G CEO oleh CelcomDigi bertujuan menyokong syarikat Malaysia tidak kira kecil atau besar untuk mendigitalkan perniagaan mereka.
Dalam pada itu, CelcomDigi juga akan mengadakan program berbentuk bengkel digital yang memfokuskan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) di seluruh negara.
CelcomDigi juga akan menganjurkan persidangan 5G berskala besar dan pameran teknologi di Kuala Lumpur tidak lama lagi bagi memupuk syarikat di negara ini memajukan pengunaan 5G.
Sementara itu, Menteri Digital, Gobind Singh Deo yang turut hadir dalam perbincangan meja bulat itu berkata, banyak pencapaian yang dapat dilihat berkenaan kerjasama beberapa pihak dalam pembangunan 5G.
Katanya, perjalanan memajukan teknologi 5G tidak boleh diserahkan kepada kerajaan sahaja, tetapi beliau berharap dapat melihat banyak lagi kerjasama bersama kerajaan untuk mempercepatkan pengunaan 5G ini demi kemajuan perniagaan dan sektor perindustrian di Malaysia.
“Jika kita ingin terus berdaya saing dan kekal relevan, kita harus bersiap-sedia dalam perubahan transformasi yang akan menjadi sangat penting dan mencabar terutamanya dalam mencapai pelan kemajuan negara,” katanya.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Albern Murty pula berkata, 5G bakal memberikan ‘Internet Industri’ yang berkebolehan menghubungkan banyak mesin dan aplikasi yang dikawal oleh kecerdasan buatan (AI).
“Teknologi 5G akan terus mewujudkan platform baharu yang boleh memberi manfaat kepada semua golongan masyarakat, bermula daripada pengguna sehingga kepada perniagaan PKS selaras dengan misi dan visi Malaysia,” katanya.-BH Online