Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

PLUS Malaysia Berhad (PLUS) diarah mengemukakan laporan penuh dan lengkap berhubung kerja pemasangan paip gas di Kilometer (KM) 14.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE) yang didakwa mengundang bahaya kepada pengguna.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dalam isu membabitkan keselamatan pengguna jalan raya dan nyawa rakyat, ia tidak boleh dipandang ringan.

“Saya amat memandang serius perkara ini dan telah mengarahkan pihak PLUS memberi laporan lengkap dan penuh kepada saya pada kadar segera,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Hantaran itu sebagai respons kepada aduan daripada pelakon dan aktivis Azlan Sani Zawawi atau lebih dikenali sebagai Lando Zawawi yang tular di media sosial baru-baru ini, mempersoalkan kerja-kerja pemasangan paip gas yang dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna lebuh raya itu.

Pada masa sama, Nanta menzahirkan ucapan terima kasih kepada Lando selain memuji usaha aktivis itu yang sentiasa peka kepada sebarang isu terkait keselamatan pengguna jalan raya.

Sementara itu PLUS dalam kenyataan mengesahkan kerja pemasangan paip gas dijalankan oleh pihak ketiga di KM14.4 Lebuhraya ELITE dibuat tanpa kebenaran PLUS.

Menurut kenyataan itu, hasil penilaian dan siasatan jururunding PLUS mendapati laluan di KM14.4 di Lebuhraya ELITE adalah stabil dan selamat digunakan pengguna lebuh raya itu.

Pada masa sama PLUS memaklumkan kerja pembaikan dimulakan sejak Januari lalu dan pemantauan berterusan akan dilaksana di lokasi terbabit. – BERNAMA