Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan membentangkan pindaan ke atas Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan ke Parlimen bulan ini, bagi memastikan anak yang dilahirkan rakyat Malaysia di luar negara diberikan hak kewarganegaraan.

Mengumumkan perkara itu, Perdana Menteri berkata, pindaan itu akan mengakhiri pelbagai kesulitan berkaitan kewarganegaraan dialami mereka yang dilahirkan di luar negara.

Berucap pada majlis berbuka puasa bersama diaspora Malaysia di sini pada Selasa beliau berkata, Kabinet bersetuju meminda Perkara 14(1)(b) Perlembagaan Persekutuan, yang mengawal hak kewarganegaraan ibu bapa dilahirkan di luar negara.

Anwar menjawab soalan seorang wanita Malaysia yang menyuarakan keresahannya mengenai dua anaknya tidak memperoleh kerakyatan Malaysia.

Anwar menjelaskan isu itu sedang ditangani.

“Ikuti perkembangan di tanah air, soalan anda telah diambil alih oleh peristiwa semasa.

“Kabinet telah bersetuju untuk membawa perkara ini ke Parlimen bulan ini.

“Kita tahu pada masa ini, ibu bapa ditakrifkan sebagai bapa. Kami akan memindanya supaya ibu bapa bermaksud bapa dan ibu,” katanya sambil disambut tepukan gemuruh kira-kira 300 hadirin.

Pada Isnin, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata beliau kini dalam siri memberi penjelasan kepada Ahli Parlimen berkait syor meminda Perlembagaan Persekutuan berhubung peruntukan hak kewarganegaraan kanak-kanak. 

Beliau berharap, langkah itu dapat menjawab pelbagai persoalan yang timbul berkenaan cadangan meminda Jadual Kedua, Bahagian III, Seksyen 19(b) Perlembagaan Persekutuan yang memberi kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbuang menerusi penguatkuasaan undang-undang. 

Pada Ahad, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim dilapor menyuarakan ikrar untuk membantah cadangan itu, terutama peruntukan yang mahu disekat Putrajaya mengenai hak anak-anak mendapat kerakyatan automatik. 

Kata wakil rakyat PKR itu, tiada sebab untuk meminda peruntukan yang memberikan kewarganegaraan kepada kanak-kanak terbiar melalui undang-undang sedia ada yang disifatkannya baik, penuh rasa ehsan, timbang rasa dan kemanusiaan. 

Hassan mempersoalkan mengapa kuasa menentukan kewarganegaraan bayi dirampas dari Perlembagaan Persekutuan untuk diserah kepada kuasa Menteri Dalam Negeri dan Kementerian Dalam Negeri.

SPR diarah mudahkan proses mengundi luar negara

Perdana Menteri juga menjawab soalan Setiausaha Agung Global Bersih, Nirmala Devi Windgaetter, yang bertanya sama ada kerajaan akan memudahkan proses pengundian pada pilihan raya umum bagi rakyat Malaysia yang tinggal di luar negara.

Nirmala berkongsi pengalaman dihadapi rakyat Malaysia di luar negara pada pilihan raya umum ke-13 dan ke-14, yang mana ramai menghadapi kesulitan mengundi.

Dalam jawapannya, Anwar berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah diarah mengkaji perkara berkenaan.

Beliau mengakui perlunya proses pengundian dipermudah dan mencadangkan pejabat agensi kerajaan di luar negara digunakan sebagai pusat pengundian.

“Sebagai contoh, agensi seperti MIDA (Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia) dan MATRADE (Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia) mempunyai pejabat di luar negara yang boleh digunakan sebagai pusat pengundian,” katanya.

Beliau ebrkata, perkara itu akan diselesaikan dengan lebih mudah selepas ini kerana pendaftaran automatik pengundi sudah dilaksanakan di Malaysia dan mungkin diperluas buat warganegara di luar negara pada masa akan datang.

Perdana Menteri berada di Jerman untuk lawatan rasmi enam hari, merangkumi Berlin dan Hamburg.-BH Online