Khazanah Nasional Bhd mencatat prestasi mantap tahun lalu dengan meraih keuntungan operasi sebanyak RM5.9 bilion berbanding daripada RM1.6 bilion yang dicatatkan pada 2022, meskipun berdepan pasaran global yang tidak menentu sepanjang 2023.
Pencapaian kewangan positif yang dicatatkan dana pelaburan negara itu didorong oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi dari syarikat pelaburannya, keuntungan nilai saksama, dan pemeliharaan modal.
Bagaimanapun, hutang Khazanah Nasional meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion pada 2023 daripada RM49.1 bilion tahun sebelumnya.
Berdasarkan prestasi kewangan tahun lalu, Khazanah Nasional membayar dividen sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan berbanding RM500 juta tahun sebelumnya dengan dividen terkumpul sejak 2004 sebanyak RM18.1 bilion.
Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Datuk Amirul Feisal Wan Zahir, berkata, 2023 adalah tahun yang mencabar, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), kadar inflasi tinggi yang mereda, keadaan monetari yang ketat dan peningkatan tertumpu dalam kecerdasan buatan (AI).
Katanya, meskipun berdepan pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik yang berterusan, namun Khazanah Nasional kekal berdaya tahan dan menunjukkan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan yang mampan sambil melabur untuk masa depan dan menerapkan kemampanan merentas operasi.
“Kami mencatatkan prestasi yang lebih kukuh pada 2023, dengan keuntungan yang melebihi tiga kali ganda berbanding 2022. Komitmen kami tetap utuh, dan kami terus memanfaatkan usaha penciptaan nilai dan pendekatan pengimbangan semula portfolio untuk mengukuhkan penyata imbangan kami dan membina kedudukan kewangan yang berdaya tahan.
“Walaupun 2024 dijangka menjadi satu lagi tahun yang mencabar di peringkat global dengan ketidaktentuan politik yang memuncak, Memajukan Malaysia akan kekal sebagai tema utama kami untuk mengemudi strategi dan tindakan kami ke arah menyampaikan pembangunan negara dan memastikan masa depan yang mampan untuk Malaysia,” katanya pada taklimat media di sini, hari ini.
Bagi tahun kewangan 2023, nisbah nilai aset boleh direalisasi (RAV) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7 kali.
Nilai aset bersih (NAV) Khazanah Nasional meningkat kepada RM85 bilion pada 2023 daripada RM33 bilion pada 2004, menghasilkan kadar pertumbuhan tahunan terkompaun sebanyak 5.1 peratus, sekali gus memenuhi mandat untuk menyampaikan pulangan mampan kepada negara dan meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia.
Pulangan Khazanah Nasional meningkat pada 2023, didorong oleh portfolio pasaran maju dan pemulihan sebahagian daripada syarikat pelaburan tersenarai di Malaysia.
Pada 2023, Khazanah Nasional menyuntik RM7.3 bilion pelaburan baharu dan memperoleh RM7.2 bilion daripada pengewangan aset.
Sementara itu, aset penerbangan dan pelancongan Khazanah Nasional menunjukkan prestasi kewangan dan operasi yang lebih baik, apabila Malaysia Aviation Group Bhd (MAG) mencatatkan keuntungan bersih selepas cukai positif untuk kali pertama dalam tempoh setahun penuh, manakala Destination Resorts and Hotels (DRH) mencatat pemulihan kukuh pasca pandemik.
Menurut Khazanah Nasional, tiada suntikan modal tambahan diperlukan sepanjang 2023.
Amirul Feisal berkata, Khazanah Nasional terus melaksanakan strategi dan pendekatannya yang diperbaharui pada 2023, berpaksikan ‘Memajukan Malaysia’ untuk menyampaikan nilai yang mampan untuk rakyat Malaysia.
“Satu pencapaian utama adalah pelancaran platform pelaburan hijau, UEM Lestra Bhd (UEM Lestra), di bawah anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional, UEM Group Bhd sebagai sokongan kepada aspirasi kerajaan untuk mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050, yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
“Dana Impak mengenal pasti projek bernilai lebih RM800 juta merentasi enam tema utama, dengan program baharu dilancarkan untuk memperkukuh ekosistem digital dan syarikat pemula Malaysia melalui pelaburan kewangan serta pembangunan modal insan,” katanya.
Menuju ke hadapan, beliau berkata, persekitaran makroekonomi dan pasaran global dijangka akan kekal mencabar dan tidak menentu tahun ini dengan konflik geopolitik yang berterusan di Asia Barat, kesinambungan perang Russia-Ukraine serta persaingan global antara China dan Amerika Syarikat (AS).
“Selain itu, kitaran pilihan raya global yang signifikan membabitkan 76 negara yang mewakili lebih 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan menambah lebih banyak ketidaktentuan.
“Dalam persekitaran ini, Khazanah Nasional kekal berwaspada dalam aktiviti pelaburannya untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian strategik,” katanya.-BH Online