Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Kerajaan akan menambah baik Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 (Akta 530) dalam usaha menyeragamkan semula sistem pengurusan FELDA, terutama aspek pertukaran hak milik peneroka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata walaupun mengambil masa agak lama iaitu hampir empat tahun, kerajaan kekal komited melaksanakannya.

“Kerajaan terutama Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) mahu melihat FELDA bukan hanya disantuni tapi dibantu dengan lebih baik,” katanya yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah pada sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Zahid akan bertemu dengan pengurusan FELDA buat kali kedua bagi membincangkan lebih lanjut masalah berkaitan lembaga itu, termasuk rungutan peneroka FELDA mengenai kadar potongan hutang ladang yang terlalu tinggi.

“Saya akan bawa isu ini sebagai isu yang penting untuk kita atasi dengan kaedah sistem kewangan dan perakaunan yang baharu.

“Mengenai cadangan mengkaji semula kaedah bayaran hasil penjualan buah sawit yang dilihat membebankan peneroka dan alternatif lain untuk menjual hasil mereka, perkara ini dalam pemantauan kita dan akan lakukan dengan cara terbaik,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, kementeriannya serta Kementerian Perladangan dan Komoditi sedang menyediakan Kertas Kabinet bagi mencari jalan mengatasi masalah dalam industri getah.

Antaranya berkaitan penyakit Luruhan Daun Pestalotiopsis (LDP, kekurangan pekerja dan kawasan tidak ditoreh, yang luasnya kira-kira 420,000 hektar.

“Saya juga sudah bertemu dengan Persatuan Pekebun Kecil dan membincangkan beberapa kaedah baharu untuk mengatasinya, termasuk harga lantai getah, walaupun kerajaan sudah meningkatkan harga dengan lebih tinggi.

“Kita harus melakukan sesuatu kerana susu getah yang diimport negara kita bernilai RM6 bilion setahun sedangkan kita adalah pengeluar getah asli yang terbesar,” katanya.-BH Online