Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus mempelbagaikan platform penerangan dalam membantu pertubuhan atau persatuan belia negara mendepani cabaran transisi perubahan umur belia.
Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim, berkata rentetan itu, Program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) yang juga inisiatif baharu KBS antara lain bertujuan memberi penerangan lanjut kepada golongan sasar berhubung pelaksanaan Pelan Transisi Kepimpinan Belia.
“Selain memberi penerangan terhadap Akta 668 (Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007), program ini bertujuan merekrut lebih ramai pemimpin dan ahli baharu dalam sesuatu persatuan,” katanya selepas Program Kembara JOM di Pusat Konvensyen Majlis Bandaraya Shah Alam di sini, hari ini.
Program itu, yang juga inisiatif KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia serta Jabatan Belia dan Sukan Negara, membolehkan pemegang taruh memberikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada kepimpinan tertinggi kementerian.
Maklum balas dan pandangan itu akan digunakan bagi memuktamad pelan itu yang bakal menjadi pemacu pelaksanaan pindaan kepada Akta 668.
Antara kandungan utama pindaan Akta 668 ialah penurunan definisi had umur belia kepada 30 tahun dan penetapan had umur ketua atau pemegang jawatan pertubuhan itu dari 18 hingga 30 tahun. – BERNAMA