Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan melancarkan Program Jualan Rahmah (PJR) Ramadan di 450 lokasi seluruh negara.
Menteri, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata PJR Ramadan akan dibuka secara berperingkat dan masih mengekalkan jualan barangan keperluan asas antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.
Katanya, selain barang keperluan biasa, program berkenaan akan turut menyediakan jualan makanan keperluan harian lain seperti ayam, daging lembu, ikan dan pelbagai hasil laut, beras serta telur ayam.
“Bekalan produk pada jualan murah ini juga melibatkan kerjasama agensi seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).
“Kita harapkan dengan adanya PJR Ramadan, dapat membantu rakyat mendapatkan bekalan barang kering, barang basah, barang persiapan untuk membuat kuih raya dan sebagainya pada harga lebih murah,” katanya.
Bercakap kepada pemberita selepas sesi walkabout PJR MADANI di Padang Kawad Ibu Pejabat Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah, di sini hari ini, Armizan berkata, pelancaran PJR Ramadan akan diadakan di Putrajaya pada hari pertama Ramadan.
Beliau memaklumkan, pelancaran program berkenaan dijangka disempurnakan timbalannya, Fuziah Salleh yang akan turut memperincikan inisiatif terbabit.
“Semua boleh menyemak jadual 450 siri PJR Ramadan di laman sesawang rasmi KPDN untuk maklumat lokasi di kawasan sekitar mereka,” katanya.-BH Online