Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Tidak begitu tepat untuk mengatakan rizab kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) negatif seperti teguran dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2022, tegas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Menurutnya, pada 2022, rizab kewangan LTAT berada dalam kedudukan positif jika mengambil kira tabungan komponen secara gabungan.

“Sebenarnya ada tiga tabung komponen rizab gabungan dalam LTAT, tetapi (LKAN) rujuk satu tabung sahaja. Tabung secara gabungan menunjukkan positif dan untuk tahun ini pun mencatatkan positif,” katanya merujuk Rizab Pendapatan Komprehensif Lain (OCI) yang dirujuk LKAN 2022.

Menjelaskan demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD), di sini hari ini, beliau berkata, ia bermakna rizab kewangan LTAT pada 2022 direkodkan positif dan kedudukan sama juga direkodkan untuk tahun lalu.

“Pada tahun 2022, kita (LTAT) rekodkan positif, 2023 pun positif, lebih kurang RM900 juta rizab LTAT. Ertinya, sebenarnya kita ingin jelaskan kedudukan LTAT, rizabnya seperti yang dibangkitkan oleh Audit Negara yang mengatakan negatif adalah tidak begitu tepat,” katanya.

Mohamed Khaled turut menyatakan kesediaan memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai isu dan akan menjelaskan fakta sebenar berkaitan rizab kewangan LTAT sekiranya dipanggil berbuat demikian.

“Memang (prestasi LTAT) positif, jadi kita akan beritahulah mereka (PAC) bahawa positif (rizab kewangan LTAT),” katanya dan menambah, penjelasannya itu bukan bermaksud ada kesilapan di pihak Jabatan Audit Negara (JAN).

“Saya tak nak cakap begitu (kesilapan JAN), saya hanya mahu cakap itu (LKAN) tak tepat. Saya akan jelaskan nanti kepada PAC yang kata mungkin akan panggil,” katanya.

Khamis lalu, Pengerusi PAC, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dilaporkan berkata, tiga bekas pengurusan tertinggi LTAT akan dipanggil bagi memberi penjelasan berhubung pendedahan rizab kewangan agensi itu berbaki negatif RM0.338 bilion seperti dalam LKAN dibentang sehari sebelum itu.

Mereka ialah bekas Pengerusi LTAT, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Ahmad Nazim Abd Rahman dan Pengarah Kanan Strategi, Dayana Rogayah Omar yang sebelum ini meletak jawatan.

Mas Ermieyati juga dilaporkan berkata, PAC juga tidak menolak kemungkinan memanggil Menteri Pertahanan dalam prosiding berkenaan.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan LTAT dan FELDA mengemukakan laporan penuh berhubung prestasi mereka seperti dilaporkan dalam LKAN 2022.-BH Online