Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyindir sikap Ahli Parlimen Tasek Gelugor dari BERSATU, Datuk Wan Saiful Wan Jan yang tidak ‘ikhlas’ dalam memperjuang kebebasan media.
Katanya, sikap itu jelas ketika bekas Ketua Penerangan BERSATU itu hanya berdiam diri dan tidak berbuat apa-apa ketika wartawan Al-Jazeera dihalau dari Malaysia pada tahun 2020.
“Saya masih ingat pada 2020, ketika wartawan Al-Jazeera diarah keluar dari Malaysia, saya tidak mendengar suara dari Wan Saiful. Di mana dia ketika wartawan terbabit ditahan, disiasat, permit mereka ditarik balik dan dihalau (dari Malaysia).
“Di mana Wan Saiful ketika saya diserang di Parlimen kerana mempertahan wartawan Al-Jazeera pada 2021? Dia tiada di mana-mana,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Wan Saiful yang mendakwa kebebasan media di Malaysia semakin mati di bawah pimpinan Fahmi sebagai Menteri Komunikasi.-BH Online