Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Seramai 1,065 usahawan wanita menerima manfaat melalui bantuan kewangan berjumlah RM22.6 juta daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) pada tahun 2023.

Jumlah itu merangkumi hampir 40 peratus daripada bilangan keseluruhan 2,708 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang menerima manfaat daripada program-program pembangunan PMKS yang dilaksanakan oleh SME Corp pada tahun berkenaan dengan nilai bantuan berjumlah RM92.6 juta.

Pencapaian itu melepasi sasaran awal yang ditetapkan oleh SME Corp bagi memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat adalah dari kalangan usahawan wanita.

Di antara program yang banyak memberi manfaat kepada usahawan wanita adalah Program Pembangunan Perniagaan Usahawan Mikro (BizME) yang mana seramai 548 peserta atau 48 peratus daripada jumlah keseluruhan peserta iaitu 1,142 terdiri daripada usahawan wanita dengan bantuan bernilai RM1.7 juta. 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Rizal Nainy berkata, SME Corp juga telah membantu usahawan wanita melalui Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang bertujuan menggalakkan golongan belia menceburi bidang keusahawanan. 

Katanya, daripada 555 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM10 juta, separuh daripadanya (50 peratus) adalah belia wanita iaitu seramai 280 peserta yang telah diluluskan geran perniagaan berjumlah RM4.3 juta. 

“Selain itu, SME Corp telah melaksanakan program pengukuhan eksport PMKS yang bertujuan meningkatkan keupayaan pra-eksport PMKS serta menambah bilangan PMKS yang berpotensi menembusi pasaran global di mana seramai 121 PMKS milikan wanita telah mendapat kelulusan berjumlah RM3.3 juta.

“Program lain yang telah mencatatkan penyertaan memberangsangkan dari usahawan wanita adalah seperti Program Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP), Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (BEEP) dan Geran Perniagaan Mikro (GPM). 

“Program-program itu telah berjaya memanfaatkan lebih 100 usahawan wanita dengan kelulusan geran bernilai lebih RM12 juta bagi tujuan pembangunan kapasiti perniagaan mereka,” katanya dalam satu kenyataan. 

Rizal berkata, SME Corp kekal komited untuk membantu usahawan wanita dengan mensasarkan sekurang-kurangnya 30 peratus penerima manfaat bagi inisiatif dan program-program yang dilaksanakan adalah usahawan wanita. 

“Bagi tahun 2024, sebanyak RM134.6 juta telah diperuntukkan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif dan program di mana kami mensasarkan lebih 16,700 PMKS bakal menerima manfaatnya pada tahun ini termasuklah usahawan wanita, sejajar dengan aspirasi kerangka Ekonomi MADANI yang lebih saksama, inklusif dan mampan. 

“Pada tahun ini juga, SME Corp akan kembali menganjurkan Anugerah Enterprise 50 (E50) iaitu program anugerah berprestij yang mengiktiraf pencapaian 50 PMKS terunggul di Malaysia.

“Bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan usahawan wanita, salah satu Anugerah Khas yang telah diwujudkan di bawah Anugerah itu adalah Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50”, katanya.-BH Online