Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

Malaysia dan Australia komited untuk mempertingkat kerjasama komprehensif dalam pelbagai industri termasuk perdagangan, pelaburan, pendidikan, ekonomi digital dan keselamatan siber.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerjasama antara kedua-dua negara itu dinyatakan pada sidang akhbar selepas pertemuan beliau dengan rakan sejawatnya Anthony Albanese, hari ini.

“Kami juga sepakat untuk memperluas kerjasama sedia ada dalam hal terkait ekosistem vaksin serta peralihan tenaga bersih.

“Menopang cabaran mendatang, kami juga senada untuk menerokai perkongsian maklumat, pembangunan siber serta menuntut kebersamaan lebih padu dalam isu imigresen dan persempadanan,” tulisnya di laman Facebook, hari ini.

Terdahulu Anwar memaklumkan bahawa beliau kini berada di Australia untuk lawatan rasmi serta menghadiri Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia dan Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Australia.

Menurut beliau, sebelum sidang akhbar bersama, beliau dan delegasi Malaysia disambut Albanese dan Gabenor Victoria Margaret Gardner AC sejurus tiba di halaman Government House Victoria.

Ketibaan Anwar dan deligasi diiringi lagu Negaraku, disusuli tembakan penghormatan sebelum pemeriksaan barisan kehormat.

“Usai majlis tersebut, saya dan Albanese mengadakan pertemuan empat mata sebelum mengadakan Mesyuarat Pemimpin Tahunan Malaysia-Australia.

“Moga hubungan dan kerjasama Malaysia-Australia terus saling menguntungkan dan ikatan persahabatan kedua-dua negara yang terjalin sejak sekian lama kekal utuh,” katanya. – KOSMO! ONLINE