KUALA LUMPUR: Amalan budaya menabung dan literasi kewangan perlu dipupuk sejak usia muda bagi melahirkan generasi yang berdisiplin dalam mengurus kewangan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat gesaan itu berkata, pemupukan amalan sedemikian juga dapat mengelak sikap boros, selain meningkatkan pendapatan.
Sehubungan itu, Perdana Menteri menyifatkan usaha Permodalan Nasional Bhd (PNB) melalui Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) dalam meningkatkan tahap tabungan masyarakat, sebagai antara inisiatif untuk menggalakkan pembinaan simpanan serta menambah pendapatan melalui pulangan pelaburan.
“Antara ikhtiar melalui PNB dan ikhtiar tambahan Amanah Saham Nasional dapat menaikkan lantai menabung supaya pendapatan bertambah.
“Kita tumpu kepada anak-anak dalam kalangan muda. Belajar menabung kerana (jika ketika) kecil tidak menabung, tidak diajar untuk cermat, apabila dewasa dia boros,” katanya ketika berucap merasmikan Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2026 di Stadium Merdeka, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh; Pengerusi Kumpulan PNB, Raja Tan Sri Arshad Raja Tun Uda; dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Shamsul Azri Abu Bakar.
Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan bagi tempoh 2025 hingga Oktober lalu, seramai 280,000 pelajar telah menyertai Program Celik MADANI yang diluncurkan beliau sejak 2024.
Di samping itu, katanya, Kelab Pelaburan Bijak PNB telah berjaya menjangkau lebih 1.3 juta pelajar di hampir 500 sekolah sejak penubuhannya pada 2001.
Beliau turut menyentuh kejayaan ASNB yang juga syarikat pengurusan unit amanah milik penuh PNB, mengekalkan pengagihan pendapatan sebanyak 5.75 sen seunit bagi dana utama, Amanah Saham Bumiputera (ASB) untuk tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025.
Pengagihan itu membabitkan jumlah pembayaran sebanyak RM10.4 bilion kepada kira-kira 11 juta pemegang unit berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar turut menegaskan penubuhan ASNB adalah bagi memastikan kepentingan Bumiputera terus dipelihara.
“Kerajaan MADANI berusaha meletakkan prinsip tatakelola sebagai satu paksi kekuatan utama.
“Sebab itu saya menyatakan penghargaan sekurang-kurangnya dalam soal mengelola Amanah Saham Malaysia ini… kita yakin ia dipegang dan diuruskan oleh profesional kita yang berwibawa dan membela nasib kita,” katanya. -BH Online

