Sorting by

×
Hantar Berita Ini:

JOHOR BAHRU: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa perpaduan ummah yang dipupuk dalam kalangan masyarakat Melayu dan Islam negara ini tidak mengetepikan bangsa dan agama lain.

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden UMNO, berkata masyarakat Melayu Islam mencari titik persamaan dan bekerjasama dalam perkara yang membawa persepakatan.

Katanya, beliau berharap usaha terbabit berjalan seiring dengan amanah kerajaan untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia.

“Kita seharusnya bersatu, kita memerlukan masyarakat, agama, seluruh budaya dan bahasa kita satukan dan kerja untuk menyatukan rakyat ini bermula dalam BN sendiri.

“Agenda Perpaduan Ummah yang digerakkan UMNO tidak sesekali meminggirkan kaum lain,” katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Agung Tahunan MIC Kali ke-80 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Austin, di sini, hari ini.

Beliau berkata, masyarakat perlu saling menghormati dan BN mesti menunjukkan teladan yang terbaik berhubung perkara itu.

“Terkandung dalam al-Quran, bahawa dalam usaha memastikan agama kita dihormati, kita mesti belajar menghormati agama lain,” katanya. 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, pihaknya berharap MIC mampu memenangi lima kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

“Saya percaya dalam PRU yang akan datang, MIC akan menang lebih banyak kerusi.

“Tan Sri (SA Vigneswaran), baik-baiklah dengan Menteri Besar Johor, saya tahu kawasan itu selamat dan sekiranya kawasan itu selamat, Tan Sri juga selamat,” katanya yang seolah-olah memberi gambaran Presiden MIC itu bakal bertanding di salah sebuah kerusi Parlimen di Johor, pada PRU akan datang. -BH Online