BALING: Dakwaan bahawa Malaysia semakin menyerupai Colombia susulan kes penyeludupan dadah menggunakan jet peribadi dan pesawat tentera, tidak menggambarkan keadaan sebenar keselamatan negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, ketika menegaskan perkara itu berkata penilaian terhadap tahap keamanan negara perlu dibuat berdasarkan indeks antarabangsa yang mengambil kira pelbagai indikator dan bukan hanya berpandukan kes jenayah yang berlaku.
“Malaysia berada pada kedudukan ke-12 daripada 163 negara dalam Indeks Keamanan Global (GPI) 2026.
“Biar badan antarabangsa yang membuat penilaian mengenai tahap keselamatan, keamanan dan ketenteraman negara kita.
“Indeks Keamanan Global mempunyai berpuluh-puluh indikator, termasuk berapa kerap berlaku demonstrasi, berapa banyak peruntukan bagi keselamatan, dan berapa nisbah anggota keselamatan dengan penduduk.
“Kesimpulannya, kita berada pada kedudukan yang baik,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Wira Madani dan Santuni Madani Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) di Masjid al-Hasaniah, Kampung Rambong Pulai, Mukim Kupang di sini, hari ini.
Beliau mengulas dakwaan dalam media sosial yang menyamakan Malaysia dengan Colombia susulan pendedahan kes penyeludupan dadah membabitkan aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Menjelaskan lanjut, Saifuddin Nasution berkata, Malaysia berada di kedudukan kedua paling aman di Asia Tenggara selepas Singapura, dan ketiga di rantau Asia Pasifik selepas Singapura serta New Zealand.
Pada 24 Oktober lalu, media melaporkan pihak berkuasa Indonesia merampas lebih dua tan dadah dianggarkan bernilai AS$300 juta (kira-kira RM1.3 bilion) melalui dua operasi besar di Pulau Sumatera, termasuk menahan sebuah kapal tangki milik syarikat berpangkalan di Johor Bahru.
Sebelum itu, media turut melaporkan polis Laos merampas 521 kilogram (kg) dadah jenis crystal methamphetamine daripada sebuah jet peribadi yang dilaporkan tiba dari Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Luang Prabang, dengan 13 individu ditahan berkait kes berkenaan.
Pada 17 November lalu, 11 individu terdiri lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam ditahan dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM.
Polis turut merampas 96.64kg dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98kg bahan kimia dalam operasi itu. -BH Online
